KUCHING: Kerjasama erat antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan penting bagi menjayakan penganjuran temasya sukan berprestij negara, Sukan Malaysia (SUKMA) XXI 2024.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menegaskan, lebih banyak pendekatan serta sesi libat urus diadakan terutamanya membabitkan para atlet bagi melancarkan penganjuran temasya sukan dwitahunan negara itu.
“Sarawak dan Kerajaan Pusat perlu adakan lebih banyak mesyuarat untuk memastikan SUKMA XXI 2024 antara yang terbaik untuk atlet kita,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian Sukan Perpaduan 2023 di Megalanes Sarawak, Emart Batu Kawa.
Sementara itu, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan, persiapan untuk Sarawak menjadi tuan rumah SUKMA XXI 2024 berjalan dengan lancar.
“Sarawak telah memperuntukkan RM124 juta untuk membaik pulih kemudahan sukan di negeri ini.
“Selain itu, sebanyak RM80 juta telah disediakan kerajaan untuk persiapan atlet-atlet Sarawak,” ujarnya.
Dalam pada itu, Sarawak dipilih sebagai tuan rumah penganjuran SUKMA XXI yang dijadualkan berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos 2024.

Abdul Karim (kiri) pada majlis tersebut.

