SIMUNJAN: Program Penanaman Pokok siri ketiga hasil kerjasama Jabatan Hutan Sarawak (JHS) dan Cahya Mata Sarawak menyaksikan sebanyak 2,507 anak pokok asli ditanam di Hutan Simpan Sabal bagi memulihkan kawasan hutan yang terosot.
JHS dalam kenyataan berkata, pelaksanaan siri ketiga itu menjadikan jumlah kumulatif anak pokok asli yang ditanam menerusi kerjasama antara kedua-dua pihak di Hutan Simpan Sabal mencecah 7,507 pohon pada tahun 2026.

“Hari ini, sebanyak 2,507 anak pokok asli terdiri daripada spesies tempatan bernilai tinggi seperti meranti, kapur, engkabang jantong, lun dan selangan batu telah ditanam sepanjang program tersebut.
“Penanaman pokok ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh inisiatif Pemulihan Landskap Hutan (FLR) di Sarawak, selain berperanan sebagai platform untuk meningkatkan kesedaran alam sekitar.
“Selain itu, program ini menggalakkan penyertaan komuniti serta memperkukuh kerjasama antara agensi kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta dan komuniti tempatan dalam memajukan inisiatif kelestarian,” katanya, hari ini.

Menurutnya, kerjasama berterusan itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua organisasi dalam menyokong Kempen Penghijauan Sarawak, selain menyumbang kepada usaha pemulihan hutan jangka panjang dan pemuliharaan biodiversiti di negeri ini.
“Program ini melibatkan 175 peserta daripada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), Balai Bomba dan Penyelamat Simunjan, Ibu Pejabat Polis Daerah Simunjan serta anggota komuniti setempat.
“Penyertaan mereka mencerminkan komitmen yang semakin meningkat dalam kalangan pelbagai pihak berkepentingan terhadap pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan hutan secara mampan,” ujarnya.
Kenyataan itu turut menegaskan bahawa pelaksanaan berterusan program seumpama ini membuktikan kepentingan tindakan kolektif dalam memastikan kesihatan dan daya tahan ekosistem hutan Sarawak untuk generasi akan datang.



