ARTIKEL

Johnny Pang mengadakan perbincangan mengenai kerjasama sektor kerajaan dan korporat bersama Abang Jimmy.

Kerjasama kerajaan-korporat perkukuh kesejahteraan rakyat Bintulu

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kerjasama strategik antara kerajaan, sektor korporat dan komuniti perlu terus diperkukuh bagi memastikan pertumbuhan pesat Bintulu dapat diterjemahkan kepada peningkatan kesejahteraan rakyat serta pembangunan bandar yang lebih mampan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata, sektor korporat mempunyai peranan penting dalam menyokong agenda pembangunan masyarakat menerusi pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), khususnya dalam bidang pendidikan, kebajikan dan pembangunan komuniti.

Beliau berkata, perkara itu merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan bersama Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Malaysia LNG (MLNG), Abang Jimmy Abang Mordian, yang turut menyentuh mengenai pembangunan komuniti, kecerdasan buatan (AI) serta peluang kerjasama pada masa depan.

Menurutnya, komitmen berterusan MLNG dalam melaksanakan pelbagai inisiatif CSR telah memberikan manfaat besar kepada masyarakat setempat, termasuk melalui bantuan kebajikan dan sokongan kepada sektor pendidikan.

“Antara yang menggalakkan ialah kerjasama MLNG dengan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Bintulu dalam memberi pendedahan lebih meluas kepada pelajar terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM),” katanya.

“Usaha seperti ini penting dalam membantu melahirkan generasi muda yang memiliki pengetahuan dan kemahiran bersesuaian dengan keperluan industri serta cabaran masa depan,” katanya dalam satu kenyataan.

Johnny Pang berkata, CSR tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai sumbangan kebajikan, sebaliknya perlu menjadi sebahagian daripada komitmen syarikat untuk membina hubungan jangka panjang dengan masyarakat yang berada dalam persekitaran operasi mereka.

Jelasnya, syarikat korporat yang mempunyai sumber dan kepakaran mampu memainkan peranan lebih besar dalam menyokong pembangunan pendidikan, kebajikan sosial, kelestarian alam sekitar dan pembangunan komuniti.

“Apabila sektor perniagaan berkembang, adalah penting bagi mereka untuk turut menyumbang kembali kepada masyarakat yang menjadi sebahagian daripada ekosistem pembangunan tersebut,” katanya.

“Kerjasama seperti ini bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti, malah membantu membina kepercayaan serta mewujudkan asas pembangunan yang lebih mampan dalam jangka panjang,” katanya.

Mengulas perkembangan Bintulu, beliau berkata, pertumbuhan pesat bandar itu sebagai hab ekonomi dan perindustrian utama Sarawak memerlukan peningkatan kemudahan serta perkhidmatan awam yang seiring dengan pertambahan penduduk dan aktiviti ekonomi.

Menurutnya, aspek pendidikan, kesihatan dan infrastruktur awam perlu terus diperkasakan bagi memastikan pembangunan ekonomi yang dinikmati hari ini turut membawa peningkatan kualiti hidup kepada rakyat.

Beliau berharap kerjasama antara kerajaan, sektor korporat dan komuniti akan terus diperkukuhkan bagi mewujudkan lebih banyak inisiatif berimpak tinggi demi menjadikan Bintulu bukan sahaja sebagai pusat ekonomi yang maju, tetapi juga bandar yang selesa didiami dan berdaya saing untuk generasi akan datang.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU