ARTIKEL

Iskandar meninjau pelaksanaan projek naik taraf sistem perparitan di Rumah Mering Eba, Sungai Selad, Jalan Bintulu–Tatau pada Jumaat.

Kerjasama Komuniti Penting Jayakan Projek Pembangunan Luar Bandar – Iskandar Turkee

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Ketua kaum dan penduduk setempat disaran supaya terus memberi kerjasama penuh kepada agensi pelaksana kerajaan, bagi memastikan setiap projek pembangunan di kawasan luar bandar dapat dilaksanakan dengan lancar serta mengikut jadual yang ditetapkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, kerjasama padu antara komuniti tempatan, jawatankuasa kampung serta agensi pelaksana amat penting bagi memastikan setiap projek yang diluluskan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat.

“Saya menyeru ketua kaum, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta penduduk supaya terus bekerjasama rapat dengan kontraktor dan jabatan pelaksana.

“Kita mahu semua projek berjalan lancar tanpa masalah kerana, setiap projek yang dilaksanakan adalah untuk kesejahteraan rakyat sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan projek naik taraf sistem perparitan di Rumah Mering Eba, Sungai Selad, Jalan Bintulu–Tatau pada Jumaat.

Menurut Iskandar, projek bernilai RM200,000 itu dilaksanakan di bawah peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) DUN Jepak bagi tahun 2025 dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Bintulu sebagai agensi pelaksana.

Projek itu melibatkan pembinaan parit konkrit di bahagian depan dan belakang rumah panjang berkenaan.

“Penduduk di Rumah Mering Eba telah menunjukkan contoh yang baik apabila memberikan kerjasama penuh kepada pihak kontraktor. Ini penting supaya projek dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan,” ujarnya.

Projek tersebut bertujuan memastikan aliran air di kawasan berbukit dapat disalurkan ke laluan yang betul sekali gus mengurangkan risiko kejadian tanah runtuh ketika musim hujan.

Rumah Mering Eba yang mempunyai 30 pintu kini berada dalam fasa pelaksanaan dengan kerja-kerja penggalian parit di bahagian belakang rumah panjang telah dimulakan.

“Kerja-kerja pembinaan parit konkrit sepanjang 400 meter ini dijangka siap pada Februari tahun depan. Kita percaya sistem perparitan ini akan memberi keselesaan dan keselamatan kepada penduduk,” katanya lagi.

Dalam masa sama, Iskandar menegaskan bahawa Pusat Khidmat DUN Jepak sentiasa terbuka menerima aduan, cadangan serta laporan daripada ketua kaum bagi memastikan setiap isu rakyat dapat ditangani dengan cepat dan berkesan.

“Sekiranya sesuatu isu di luar bidang kuasa kita, kita akan menjadi penghubung kepada agensi kerajaan seperti Pejabat Daerah, Jabatan Kerja Raya (JKR) atau DID bagi mencari jalan penyelesaian terbaik. Apa yang penting ialah komunikasi dan kerjasama antara semua pihak,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU