ARTIKEL

DCP Saifullizan menyumpit belon sebagai simbolik perasmian Seminar Pencegahan Jenayah dan Koreksional Bersama Komuniti Daerah Tatau.

Kerjasama komuniti tunjang utama bendung jenayah – DCP Saifullizan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Usaha membanteras jenayah tidak seharusnya diletakkan di bahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata, sebaliknya menuntut kerjasama erat komuniti sebagai rakan strategik keselamatan negara.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, DCP Saifullizan Ishak berkata, jenayah kekal menjadi ancaman yang mampu menggugat ketenteraman awam, justeru pendekatan kolaboratif antara pihak akademik, agensi penguat kuasa dan masyarakat amat kritikal bagi memastikan keberkesanan pencegahan.

“PDRM Sarawak sentiasa komited bagi memastikan keselamatan awam berada pada tahap optimum. Namun, kita tidak boleh bekerja secara bersendirian.

DCP Saifullizan merakam gambar kenangan bersama peserta Seminar Pencegahan Jenayah dan Koreksional Bersama Komuniti Daerah Tatau.

“Peranan komuniti amat penting dalam mengenal pasti, melapor dan membantu mencegah jenayah di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah dan Koreksional Bersama Komuniti Daerah Tatau anjuran pelajar Sarjana Sains Koreksional Universiti Utara Malaysia (UUM) di Dewan Terbuka IPD Tatau, semalam.

Menurut Saifullizan, seminar tersebut menjadi platform penting yang menggabungkan kepakaran akademik dalam bidang koreksional dengan pengalaman operasi PDRM serta pemahaman komuniti setempat terhadap cabaran keselamatan di daerah berkenaan.

Beliau menambah, pencegahan jenayah masa kini memerlukan pendekatan lebih syumul termasuk memperkasa pengawasan kejiranan selain penggunaan teknologi, serta inovasi dalam sistem pemantauan bagi meningkatkan keberkesanan operasi.

Sementara itu, beliau turut menekankan keperluan melihat aspek koreksional secara holistik yang bukan sekadar bentuk hukuman, tetapi proses pemulihan menyeluruh bagi membantu pesalah kembali menjadi anggota masyarakat yang bertanggungjawab.

“Program pemulihan, sokongan psikososial dan latihan kemahiran amat penting bagi membantu mengurangkan kadar pengulangan jenayah. Aspek koreksional harus menjadi jambatan untuk memulihkan, bukannya sekadar menghukum,” katanya.

Mengulas lanjut, Saifullizan menjelaskan bahawa proses pemulihan pesalah perlu dilaksanakan melalui program bimbingan dan intervensi yang berkesan supaya mereka dapat berintegrasi semula ke dalam masyarakat.

Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada pelajar Sarjana Sains Koreksional UUM atas penganjuran program yang disifatkan bertepatan dengan keperluan keselamatan komuniti luar bandar.

“Kerjasama antara PDRM, institusi akademik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat akan memberi impak besar dalam membentuk komuniti Tatau yang lebih selamat serta harmoni,” ujarnya.

Seminar tersebut menghimpunkan kira-kira 300 peserta terdiri daripada Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK), wakil agensi kerajaan serta pelajar sekolah rendah dan menengah di sekitar Daerah Tatau.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU