KUCHING: Syarikat pembekal tenaga boleh diperbaharui terbesar di negara, Sarawak Energy, bakal bekerjasama dengan Abu Dhabi Future Energy Company PJSC-Masdar (MASDAR) untuk membangunkan 1,000 megawatt (MW) tenaga hijau melalui hidro di Murum.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pihaknya telah mengenal pasti kawasan untuk syarikat pembekal tenaga bersih milik kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu melabur bagi menjana tenaga hijau berkenaan.
“Seperti kita sedia maklum, pihak MASDAR adalah syarikat besar yang menjana tenaga hijau melalui solar.
“Kita telah mengenal pasti kawasan untuk mereka melabur yang mungkin menjana 1 gigawatt tenaga hijau melalui hidro yang mungkin akan dibangunkan di kawasan Murum.
“Ini adalah satu pelaburan besar, bermakna kita ada nilai tambah dari sudut pengeluaran tenaga hijau.
“Selain daripada itu, negara Korean Selatan melabur bagi membangunkan hub tenaga di Bintulu untuk mengeluarkan gas hidrogen dan ammonia sebagai bahan api bersih,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau memberitahu Kerajaan Sarawak bakal membuka pejabat di Abu Dhabi, UAE, yang akan diuruskan oleh Sarawak Energy dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) bagi melancar serta mempercepatkan kerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui.
“Kerjasama ini turut melibatkan Syarikat Pelaburan Mubadala di Dubai, mereka juga akan bekerjasama dengan PETROS dan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) bagi membangunkan industri minyak dan gas,” jelasnya.
Pada Januari lalu, Abang Johari memberitahu Kerajaan Sarawak sedang meneroka peluang bekerjasama dengan UAE dan merancang untuk membuka pejabat di negara berkenaan bagi mempercepatkan proses kerjasama.
Pada Disember lalu, Sarawak Energy menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan MASDAR bertujuan untuk memajukan pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui di seluruh Sarawak dan Malaysia.
Ditandatangani semasa Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), COP28, ia memfokuskan kepada beberapa bidang utama kerjasama, termasuk pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui menggunakan teknologi inovatif seperti solar fotovoltaik (PV) dan Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS).
Salah satu sasaran yang digariskan dalam MoU itu ialah usaha bersama membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui dua gigawatt di Malaysia, dengan rancangan untuk memulakan fasa satu melibatkan satu gigawatt di Sarawak.
Sebagai tambahan kepada tumpuan kepada projek penyimpanan solar dan tenaga, Sarawak Energy dan Masdar juga bersedia untuk meneroka peluang kerjasama dalam projek hidro di seluruh Malaysia.
Bagi menjayakan usaha sama tersebut, sebuah jawatankuasa melibatkan Sarawak Energy dan PETROS sedang ditubuhkan.

