KUCHING: Kerjasama antara SatuBorneo Sdn Bhd (SBSB) dengan Cornerstone Offshore Pte Ltd (COS) memperkukuh penerimaan serta inovasi teknologi Kenderaan Kawalan Jauh Mini (mROV) dan perkhidmatan dasar laut di Malaysia Timur, khususnya di perairan Sarawak.
Pengarah Urusan SBSB, George Melati, berkata kerjasama strategik antara SBSB, syarikat perkhidmatan sokongan luar pesisir dan marin berpusat di Sarawak dan COS, syarikat perkhidmatan dasar laut berpangkalan di Singapura serta beribu pejabat di Malaysia, menandakan lembaran baharu dalam penyampaian perkhidmatan pemeriksaan canggih kepada para pelanggan.

“Kami yakin kerjasama ini akan memperluaskan penawaran perkhidmatan kami dan pada masa sama membuka peluang baharu kepada bakat tempatan Sarawak dalam sektor luar pesisir,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kerjasama ini menyatukan kekuatan kedua-dua syarikat bagi memenuhi permintaan serantau yang semakin meningkat terhadap operasi mROV berasaskan pelantar dan kapal kecil yang ingin penyelesaian pemeriksaan dan penyelenggaraan dasar laut yang tangkas, cekap serta menjimatkan.
Kerjasama itu turut menyokong agenda pembangunan ekonomi dan perindustrian Sarawak, khususnya dalam memperkukuh pelibatan syarikat tempatan dalam operasi dasar laut berteknologi tinggi, seiring dengan inisiatif pembangunan vendor dan penglokalan oleh PETROS, PETRONAS.
“Kerjasama ini juga mempromosi pemindahan pengetahuan dan pembangunan keupayaan melalui latihan, operasi bersama dan projek demonstrasi teknologi.
“Ia juga mengurangkan kebergantungan terhadap kapal dinamik-posisi (DP) berskala besar untuk tugasan pemeriksaan, dengan memanfaatkan kapal kecil dan pelantar sebagai platform pelaksanaan, sambil menumpukan kapal DP besar untuk kerja penyelenggaraan berat,” jelasnya.
Katanya lagi, kedua-dua pihak komited untuk melaksanakan operasi secara berfasa, bermula dengan projek perintis dan demonstrasi keupayaan di beberapa pelantar luar pesisir terpilih bermula tahun 2025.
Pengarah Urusan COS, Philip Sim berkata, kolaborasi ini bakal mentakrif semula pendekatan pemeriksaan bawah air di medan luar pesisir Sarawak, menjadikannya lebih bijak, pantas dan menjimatkan kos.
“Kami berbangga dapat memeterai kerjasama ini bersama SBSB kerana ia bukan sekadar pelaksanaan teknologi, tetapi juga komitmen untuk membangunkan keupayaan tempatan dan menyokong masa depan operasi luar pesisir di Malaysia Timur,” tambahnya.


