ARTIKEL

Sarawak Water memaklumkan kerja-kerja pembaikan sedang giat dijalankan bagi mengatasi masalah kerosakan paip utama ini dan memulihkan bekalan air.

Kerosakan paip utama ganggu bekalan air di beberapa kawasan Kuching

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Beberapa kawasan di Kuching dijangka mengalami tekanan air rendah atau gangguan bekalan air sementara susulan kerosakan paip utama berdiameter 840 milimeter di Jalan Tun Jugah, hari ini.

Sarawak Water dalam satu kenyataan berkata, paip berkenaan mengalami kerosakan kira-kira jam 3 petang susulan kerja-kerja projek yang sedang dijalankan di kawasan berkenaan.

“Antara kawasan yang terjejas termasuk Jalan Kenyalang Park, Jalan Upland, Jalan Song, Jalan Ong Tiang Swee, Jalan Simpang Tiga, Jalan Seladah, Jalan Kenny Hill, Jalan Jelutong dan Jalan Pending.

“Turut terjejas ialah Jalan Kwong Lee Bank, Jalan Ang Cheng Ho, Jalan Tun Razak, Jalan Durian Burung, Jalan Sekama, Jalan Mendu, Jalan Lumba Kuda serta kawasan sekitarnya,” ujar kenyataan.

Sarawak Water turut memaklumkan pasukannya telah digerakkan ke lokasi kejadian dan sedang mengasingkan bahagian paip yang terjejas bagi membolehkan kerja-kerja pembaikan dijalankan dengan selamat.

“Kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan secepat mungkin bagi meminimumkan tempoh gangguan kepada pengguna.

“Bekalan air akan dipulihkan secara berperingkat selepas kerja pembaikan selesai, namun pengguna di kawasan yang terletak lebih jauh dalam sistem agihan mungkin mengambil sedikit masa untuk kembali menerima bekalan dan tekanan air pada tahap normal,” jelas kenyataan.

Dalam tempoh pemulihan, Sarawak Water turut memaklumkan sesetengah pengguna mungkin mengalami air yang berubah warna atau keruh buat sementara waktu apabila tekanan air kembali meningkat.

“Keadaan itu boleh berlaku akibat perubahan tekanan yang mengganggu mendapan sedia ada dalam sistem agihan air.
“Sehubungan itu, Sarawak Water akan menjalankan kerja-kerja pengaliran keluar air di lokasi yang diperlukan bagi membantu memulihkan dan menstabilkan kualiti air,” ujar kenyataan.

Sarawak Water turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku serta menghargai kesabaran dan kerjasama pengguna yang terjejas.

Maklumat terkini mengenai perkembangan kerja pembaikan dan pemulihan bekalan air akan disalurkan dari semasa ke semasa menerusi saluran komunikasi rasmi Sarawak Water.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU