SARATOK: Seorang lelaki yang menyamar sebagai bomoh ditahan di Sibujaya malam tadi selepas dipercayai memperdaya seorang suri rumah warga emas dari Kabong sehingga mengalami kerugian RM554,525.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, suspek berusia 38 tahun yang bekerja sebagai pemandu lori dan berasal dari Pasai Siong dipercayai melakukan penipuan dengan menawarkan khidmat perubatan tradisional.
Menurutnya, hubungan antara pengadu dengan suspek bermula pada Jun tahun lalu apabila wanita itu mendapatkan bantuan suspek untuk mengubati anaknya yang mengalami masalah kesihatan.
“Selepas berbincang, suspek berjanji untuk mengubati anak pengadu dari jauh selain memberikan minyak untuk disimpan di dalam beg sebagai pelindung diri.
“Pada Oktober 2025, suspek menghubungi pengadu melalui mesej dan mengajaknya bertemu di sebuah kedai kopi di Sibujaya kononnya untuk berbincang mengenai masalah tanah milik pengadu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mathew berkata, suspek kemudian mendakwa mampu membantu memulihkan dari jauh sebelum meminta wang bagi membeli barangan untuk upacara miring.
Suspek seterusnya mengarahkan pengadu memindahkan wang berjumlah RM554,525 ke enam akaun bank milik individu berlainan.
Bagaimanapun, selepas menyedari dirinya dipercayai ditipu, pengadu tampil membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
Laporan itu membawa kepada penahanan suspek di Sibujaya malam tadi.
Menurut Mathew, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Polis turut merampas sebuah telefon pintar milik suspek untuk membantu siasatan.
Suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Saratok bagi siasatan lanjut.






