KUCHING: Faktor keletihan akibat jadual perjalanan yang padat dan perpindahan dari satu bandar ke bandar yang lain menjadi antara punca Kuching City FC masih bergelut mencari rentak permainan terbaik dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) musim ini.
Ketua pasukan Kuching City, James Okwuosa berkata, keadaan itu sedikit banyak menjejaskan prestasi pasukan yang masih berusaha mendapatkan kemenangan pertama dalam saingan Kumpulan H.
Menurutnya, barisan pemain masih dalam proses mendapatkan kembali keserasian dan rentak permainan seperti yang dipamerkan pada musim lalu.

“Saya percaya apabila pasukan kembali stabil dan mendapat masa pemulihan yang mencukupi, kami mampu mencatat keputusan lebih baik dalam perlawanan akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas perlawanan menentang Gangwon FC yang menyaksikan skuad The Cats terpaksa berputih mata selepas tewas tipis 0-1 di Stadium Gangneung, Korea Selatan, hari ini.
Mengulas aksi berkenaan, James mengakui pasukannya gagal memanfaatkan beberapa peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan meskipun berjaya memberikan tentangan selepas dibolosi lawan.

Menurutnya, Kuching City menunjukkan reaksi positif dengan meningkatkan tekanan pasukan tuan rumah, namun ketumpulan penyudah menjadi antara kelemahan yang perlu segera diperbaiki.
“Memang kami dibolosi, tetapi selepas jaringan itu, saya rasa kami mula memberikan tekanan kepada lawan dan berjaya mencipta banyak peluang yang sepatutnya boleh disudahkan.
“Harapnya dalam perlawanan seterusnya, kami dapat memanfaatkan peluang yang terhasil dengan lebih baik,” jelasnya.
Skuad kendalian Aidil Sharin Sahak dijadual bertemu semula Gangwon FC dalam aksi keempat Kumpulan H di Stadium Taha Ariffin, Kuching pada 5 November ini.
<-TAMAT->





