ARTIKEL

DIASAK HEBAT...Pemain tengah Kuching City, Kaishu Yamazaki diasak oleh ketua pasukan Gangwon FC dalam aksi ketiga Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua di Stadium Gangneung, Korea Selatan, petang ini.

Satu Gol Ranap Impian KCFC

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Hanya satu gol memisahkan Kuching City FC daripada memburu kemenangan pertama dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 apabila skuad The Cats terpaksa berputih mata selepas tewas tipis 0-1 kepada Gangwon FC di Stadium Gangneung, Korea Selatan, hari ini.

Kekalahan dalam aksi ketiga Kumpulan H itu menyaksikan skuad kendalian Aidil Sharin Sahak masih gagal mencatat kemenangan pertama selepas tiga perlawanan, sekali gus menambah tekanan dalam usaha merebut tiket ke pusingan kalah mati.

Gol tunggal perlawanan dijaringkan oleh Cheo Byeong-chan pada minit ke-28 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol Kuching City, Muhammad Haziq Nadzli.

Beraksi dalam cuaca dingin, The Cats berdepan tekanan awal apabila Gangwon memanfaatkan kelebihan di gelanggang sendiri untuk menguasai permainan dan melancarkan beberapa serangan berbahaya sepanjang 25 minit pertama.

Bagaimanapun, Kuching City mula memperkemas corak permainan selepas ketinggalan dengan meningkatkan gerakan menyerang, terutama dalam tempoh 10 minit terakhir separuh masa pertama, namun gagal menemui jaringan penyamaan.

Pasukan pelawat turut berdepan kekangan apabila kehilangan empat pemain akibat kecederaan, iaitu Gabriel Peres, Ajdin Mujagic, Ronald Ngah Wanja dan Jimmy Raymond, sekali gus mengehadkan pilihan Aidil dalam menyusun kesebelasan utama.

Memasuki separuh masa kedua, Aidil melakukan perubahan taktikal pada minit ke-61 dengan memasukkan Safawi Rasid dan Joao Pedro bagi menggantikan Ryan Lambert serta Dylan Wenzel-Halls untuk memperkukuh jentera serangan.

Kemasukan kedua-dua pemain itu memberikan pilihan tambahan kepada Kuching City dalam usaha memecahkan benteng pertahanan Gangwon yang berusaha mempertahankan kelebihan tipis di laman sendiri.

Meskipun cuba mencari ruang untuk menyamakan kedudukan, skuad The Cats gagal mengubah keputusan perlawanan dan terpaksa menerima kekalahan kedua dalam kempen sulung mereka di pentas ACL2.

Kuching City sebelum ini membuka saingan dengan kekalahan 1-2 kepada Phnom Penh Crown FC di Kemboja sebelum mencatat keputusan seri 1-1 menentang Kitchee SC di Kuching.

Keputusan di Gangneung itu menyaksikan The Cats kekal dengan satu mata daripada tiga perlawanan, manakala Gangwon meraih kemenangan pertama untuk meningkatkan kutipan kepada empat mata.

Selepas ini, Kuching City dijadual berdepan Gangwon sekali lagi pada 5 November depan dalam aksi keempat kumpulan yang menjadi peluang penting untuk menebus kekalahan dan menghidupkan semula cabaran di pentas Asia.
<-TAMAT->

BERITA LAIN

BERITA TERBARU