KUCHING: Kertas siasatan pegawai kanan Tentera Darat Malaysia (TDM) yang didakwa mengasari pegawai bawahannya sehingga cedera telah dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan lanjut.
Perkara itu dimaklumkan oleh Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata sambil menambah, siasatan itu juga sedang dijalankan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM).
“Laporan polis memang sudah ada tapi kita merujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) kerana kebiasaannya kes sebegini akan dibawa ke DPP kerana kita mempunyai Mahkamah Komersial Tinggi (High Commercial Court).
“Perkembangan kes ini sudah dirujuk kepada DPP,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Padawan, Matu Daro Dan Serian di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.
Sebelum ini, satu laporan polis telah dibuat terhadap pegawai kanan terbabit di Balai Polis Bau pada jam 1.27 pagi, 4 Mac lalu.
Sementara itu, pada 8 Mac lepas, pegawai kanan terbabit telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu untuk diambil percakapan dan kes masih dalam siasatan polis.
Laporan polis yang dibuat oleh pengadu menyebut bahawa seorang pegawai TDM mendakwa ditampar pada bahagian kiri muka dan ditendang di perut oleh pegawai kanan terbabit sehingga menyebabkan pengadu mengalami kecederaan pada tisu lembut di atas mata dan mengalami ‘blunt trauma’.
Kejadian itu difahamkan berlaku pada 1 Mac lalu ketika sekumpulan pegawai sedang menjalani latihan peringkat formasi.
Malah TDM turut menubuhkan Lembaga Siasatan peringkat dalaman bagi mengenal pasti punca kejadian selain menilai secara profesional dan terperinci dakwaan kekasaran yang dilakukan pegawai kanan itu.


