Kerugian RM9,000 seorang

KUCHING: Persatuan Pemandu Pelancong Sarawak secara purata mengalami kerugian sekitar RM6,500 hingga RM9,000 setiap seorang dari tempoh Januari hingga April tahun ini bergantung dengan destinasi dan durasi yang dipilih oleh pelancong.

Pengerusinya Abang Azahari Abang Zaidan berkata, kerugian yang dialami turut dihadapi pada peringkat global malah seluruh negara kini dengan ancaman Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini jelasnya, menyebabkan industri pelancong khususnya pemandu pelancong seluruh negara terjejas teruk.

“Ketibaan pelancong adalah sumber pendapatan utama bagi pemandu pelancong berlesen ini. Tiada pelancong, maka tiada tugasan.

Persatuan setakat ini terdiri daripada 145 orang ahli.

“Sebelum ini kita pernah mengalami situasi yang mana kurangnya ketibaan pelancong ketika kesan penularan wabak Japanese Encephalitis (J.E.), sindrom pernafasan akut teruk (Sars) dan jerebu.

“Tetapi tiada PKP dibuat, ketibaan pelancong masih ada dengan jumlah yang kecil serta pakej-pakej pelancongan masih dapat dijual,” jelasnya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Abang Azahari menambah, pandemik Covid-19 mengubah landskap pelancongan kerana ia menutup punca pendapatan pemandu pelancong.

“Selalunya mereka akan menerima tugasan kerja dari agensiagensi pelancongan untuk dua hingga tiga bulan sebelum ketibaan rombongan.

“Dari pengesahan itu dapat dianggarkan pendapatan untuk jangka tempoh tertentu.

“Jadi bagi yang telah menerima pengesahan untuk beberapa bulan, impaknya dilihat begitu mendalam apabila keseluruhan tugasan dan tempahan lenyap sekelip mata kerana Covid-19 ini,” ujarnya yang kini telah berkhidmat selama 30 tahun sebagai pemandu pelancong.

Beliau turut memberi anggaran industri pelancongan mungkin akan pulih seawal-awalnya dalam masa 18 bulan.

“Bagi negara kita, kebanyakan produk pelancongan adalah berasaskan kebudayaan, pengembaraan, alam semula jadi, makanan dan pesta.

“Maka, ini juga membuatkan para pelancong tertanya-tanya dari segi keselamatan dan aspek kebersihan.

“Untuk meningkatkan keyakinan para pelancong untuk datang ke sini nanti, ia tidak hanya terletak di tangan pemain industri dan pemandu pelancong semata-mata, malah ia juga bergantung kepada masyarakat dalam negara itu sendiri,” jelasnya.

Abang Azahari menambah, persatuan amat mengalu-alukan bantuan daripada Kerajaan Sarawak dan kementerian berkaitan dalam membangunkan aktiviti pelancongan tempatan.