ARTIKEL

Perayu berbincang dengan Peguam Bela Patrick Voon selepas keluar dari bilik Mahkamah Tinggi.

Kes Cabul Anak Tiri: Mahkamah Tinggi Benarkan Rayuan Bapa Tiri Jalani Hukuman Penjara Secara Serentak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Mahkamah Tinggi hari ini, membenarkan rayuan seorang bapa tiri untuk menjalani hukuman penjaranya berjalan secara serentak selama 18 tahun dan dikurangkan sebatan, atas kesalahan mencabul anak perempuan tiri berusia 13 tahun.

Hakim Wong Siong Tung membenarkan rayuan perayu berusia 54 tahun selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua belah pihak.

Terdahulu, pada 31 Oktober 2025, perayu dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun dan lapan sebatan masing-masing bagi setiap tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Musli Abdul Hamid.

Musli memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara berturut-turut, sekali gus menjadikan jumlah hukuman perayu 54 tahun 24 sebatan.

Perayu mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di bawah Subseksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibacakan bersama Seksyen 16(1) akta yang sama.

Dia didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan tiri berusia 13 tahun dengan meraba payudara dan kemaluan mangsa.

Perbuatan terkutuk itu dilakukannya di kediaman mereka di Bau, pada 4, 5 dan 6 Oktober 2025, jam 10 malam.

Berdasarkan fakta kes, pengadu merupakan mangsa sendiri membuat laporan polis bahawa dia dicabul oleh bapa tirinya sejak berusia lapan tahun.

Selain itu, perbuatan terkutuk bapa tirinya berlarutan hingga dia berusia 13 tahun meninggalkan kesan trauma kepada pengadu.

Difahamkan, pengadu pernah memberitahu ibu kandungnya beberapa kali, namun tidak dipedulikan atas alasan bapa tirinya ialah tulang belakang keluarga yang menyara hidup mereka.

Perayu berjaya ditangkap oleh pihak polis di sebuah kampung pada 25 Oktober 2025.

Hasil siasatan mendedahkan bahawa pada 4 hingga 6 Oktober 2025, perayu masuk ke dalam bilik pengadu lalu menarik baju dan seluar dalam pengadu.

Selepas itu, dia bertindak meraba payudara dan menyentuh kemaluan mangsa, tetapi tangan perayu ditepis oleh mangsa.

Kejadian tersebut berlaku berlarutan selama tiga hari.

Semasa menyampaikan keputusan hari ini, Wong memberitahu bahawa usia perayu yang dijatuhkan hukuman ialah 53 tahun dan akan menamatkan hukuman penjara selepas mencapai usia lebih 100 tahun adalah melebihi jangka hayat manusia biasa.

Oleh itu, beliau membenarkan sebahagian rayuan ke atas hukuman dengan mengekalkan hukuman penjara bagi ketiga-tiga pertuduhan dan berjalan secara serentak.

“Hukuman dua sebatan bagi setiap pertuduhan, menjadikan jumlah sebat sebanyak enam sebatan dan bersama-sama dengan perintah kaunseling pemulihan serta dua tahun pengawasan polis,” katanya.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azhari Yusof, manakala perayu diwakili Peguam Patrick Voon.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,