KUCHING: Seorang peniaga atas talian wanita dijatuhi hukuman penjara 30 tahun oleh Mahkamah Tinggi kerana mengedar dadah jenis ganja 3.66 kilogram, empat tahun lalu.
Hakim Leonard David Shim menjatuhkan hukuman demikian selepas tertuduh Dayang Nurhanisah, 39, didapati bersalah atas tiga pertuduhan di akhir pendakwaan kes.
Leonard David mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama, kerana mengedar dadah jenis ganja seberat 3.667 kilogram.
Sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.
Sekiranya hukuman yang diberikan oleh Mahkamah adalah hukuman penjara seumur hidup, tertuduh hendaklah juga disebat tidak kurang 15 sebatan.
Dia melakukan kesalahan itu di sebuah premis kedai di Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan, sekitar jam 6:00 petang, 9 Julai 2021.
Manakala, pertuduhan kedua, dia didakwa di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah jenis ganja seberat 18 gram.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) Akta yang sama, kerana memiliki 0.57 gram Ketamin.
Kedua-dua kesalahan memiliki dadah itu dilakukannya di sebuah rumah di Taman Desa Ilmu, sekitar jam 4:50 petang, 9 Julai lalu.
Leonard menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun bagi pertuduhan pertama.
Manakala, pertuduhan kedua dan ketiga, masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun terhadap Dayang.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara secara serentak berkuat kuasa dari tarikh tangkap pada 9 Julai 2021.
Seramai 10 orang saksi pendakwaan dipanggil dan dua saksi daripada pihak pembelaan.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Fillany Siji manakala tertuduh diwakili Peguam Roland Thomas.


