ARTIKEL

Calvin semasa mempengerusikan Mesyuarat Kolaborasi Bersama Jabatan dan Agensi Dalam Menangani Wabak Rabies di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Tatau pada Selasa.

Kes Kematian Pertama Akibat Rabies Di Tatau Harus Jadi Peringatan Perkukuh Usaha Pencegahan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kes kematian pertama akibat rabies yang direkodkan di Daerah Tatau baru-baru ini harus menjadi peringatan serius kepada semua pihak agar memperkukuh usaha pencegahan dan kawalan penyakit berkenaan.

Pegawai Daerah Tatau, Calvin Ligong Bujang @ Endawie berkata, insiden tersebut membuktikan bahawa ancaman rabies masih berada pada tahap membimbangkan dan memerlukan tindakan bersepadu melibatkan agensi kerajaan serta masyarakat setempat.

Menurut beliau, pendekatan menyeluruh termasuk pelibatan ketua kaum dan ketua masyarakat amat penting bagi memastikan mesej kesedaran rabies dapat disampaikan secara berkesan sehingga ke peringkat akar umbi.

“Usaha pencegahan perlu diperkukuh melalui kerjasama semua pihak termasuk jabatan kerajaan dan masyarakat,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Kolaborasi Bersama Jabatan dan Agensi Dalam Menangani Wabak Rabies di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Tatau pada Selasa.

Beliau turut menegaskan bahawa pemilik haiwan peliharaan mempunyai tanggungjawab besar dalam mengekang penularan rabies, khususnya dengan memastikan haiwan mereka menerima vaksin secara berkala serta mengawal pergerakan haiwan peliharaan.

Sementara itu, Pegawai Epidemiologi Pejabat Kesihatan Bahagian Bintulu, Dr Nurul Amirah Masani memaklumkan sebanyak 73 kes gigitan haiwan direkodkan di Daerah Tatau sepanjang tahun ini.

Beliau berkata kes kematian pertama akibat rabies di daerah tersebut direkodkan pada Mei lalu dan menegaskan kepentingan mendapatkan rawatan segera selepas digigit haiwan bagi mengelakkan jangkitan.

Dalam perkembangan berkaitan, Pegawai Veterinar Jabatan Veterinar Bintulu, Dr Siong Jing Jing memaklumkan bahawa empat program vaksinasi haiwan dirancang di Daerah Tatau pada tahun ini.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU