KUCHING: Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak (MPHLG) memberi jaminan untuk mempercepatkan penyerahan projek perumahan Tiara Seni dan Golden Hill Villa 3 di Bintulu, yang telah tertangguh sejak dua tahun lalu.
Timbalannya Datuk Michael Tiang Ming Tee berkata, pemaju projek Tiara Seni telah berjanji untuk menyerahkan unit Rumah Teres Dua Tingkat dan Rumah Berkembar Dua Tingkat kepada pembeli pada tahun depan manakala projek Golden Hill Villa 3, masih dalam peringkat perundingan dengan pihak berkaitan.
Bagi projek Tiara Seni, katanya ia telah dibincangakan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Projek Perumahan (JKTP) yang diadakan pada 17 Oktober lalu.
“Dalam mesyuarat ini, semua pihak bersetuju bahawa pemaju perlu meneruskan kerja-kerja pembetulan pembetungan seperti yang disyorkan oleh Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (SSD) untuk mengekalkan standard kesihatan awam, perlindungan alam sekitar, dan kesejahteraan masyarakat keseluruhan.
“Tambahan pula, pemaju akan memohon Sijil Jalan dan Sijil Kelayakan Menduduki daripada Lembaga Kemajuan Bintulu. Persetujuan ini penting untuk mempercepatkan penyerahan unit kepada pembeli,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan ADUN Tanjong Batu Johnny Pang berkenaan isu kelewatan penyerahan projek perumahan berkenaan yang belum diselesaikan sejak dibangkitkan 2 tahun lalu pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.
Sementara itu kata ADUN Pelawan itu, bagi Lot 1713, Blok 12, Daerah Tanah Kemena, yang juga dikenali sebagai Golden Hill Villa 3, pasukan Petugas Khas Kementerian telah berunding dengan kedua-dua pemaju dan BDA.
Katanya, pertikaian antara pemaju dan pemilik tanah bersebelahan masih belum diselesaikan.
“Justeru, MPHLG menggesa pemaju untuk segera menangani isu tanah ini dan mempertimbangkan langkah alternatif bagi memastikan penyerahan projek yang berjaya kepada pembeli rumah yang berkenaan. Kementerian akan memantau perkembangan situasi ini dengan teliti,” ujarnya.
Ujarnya, MPHLG juga akan mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Pemantauan Projek Perumahan (JKTP) yang melibatkan pihak berkuasa berkaitan untuk mengumpul pandangan dan membincangkan penyelesaian bersama yang akan membantu memajukan projek Golden Hill Villa 3 berkenaan.

