KUCHING: Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan penangguhan prosiding pendengaran kes Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) selama sebulan.
Dalam kenyataan media Petronas dan Petros hari ini, penangguhan itu bagi memberi ruang rundingan yang sedang berlangsung antara kedua-dua pihak dapat diteruskan.
Terdahulu, PETROS selaku plaintif memohon perintah mahkamah bagi menuntut semula bayaran berjumlah RM7.95 juta yang telah dibayar kepada PETRONAS di bawah jaminan bank.
Menurut PETROS, jumlah tersebut merupakan bayaran pampasan bagi bekalan gas yang didakwa telah dibekalkan secara bertentangan dengan Ordinan Pengagihan Gas 2016, memandangkan PETRONAS bukan agregator gas berlesen di Sarawak.
Perselisihan itu bermula pada Oktober 2024, apabila PETRONAS meminta Jaminan Bank (BG) berikutan permintaan RM28.1 juta daripada PETROS berhubung dengan bekalan gas.
PETROS kemudiannya memfailkan saman terhadap Petronas dan memohon injunksi interim untuk menghalang pengeluaran dana.
Bagaimanapun, permohonan injunksi itu menjadi akademik selepas Jaminan Bank (BG) meneruskan pembayaran kepada Petronas.
PETRONAS diwakili oleh Datuk Cyrus Das,dan Khoo Guan Huat manakala PETROS diwakili oleh Tan Sri Cecil Abraham, Sim Hui Chuang dan Lim Lip Tze.
Mahkamah kemudian menetapkan semula perbicaraan kes 30 September depan.


