ARTIKEL

Kesan COVID-19: Golongan muda perlu ceburi pertanian, pastikan kelangsungan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Sektor pertanian dan perikanan negara perlu diterajui golongan muda bagi memastikan kelangsungannya dan bekalan makanan yang mencukupi, seterusnya mampu menjana pendapatan negara.

Ahli Lembaga Pengarah Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Datuk Nazilah Abd Latif berkata pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas dilihat menekankan pentingnya bekalan makanan yang mencukupi untuk kegunaan dalam negara diberi tumpuan utama.

“Masalah utama yang dihadapi dalam sektor pertanian ialah kebanyakan pemain industrinya adalah golongan berumur yang semakin berkurangan tenaga dan pemikiran pun tidak kuat untuk mengadaptasikan diri mereka dengan perkembangan teknologi semasa.

“Kita mesti ‘grooming’ golongan muda supaya terlibat dalam sektor ini. Ini memerlukan strategi yang kuat bagi memastikan mereka terlibat secara profesional dan tidak boleh jalankan aktiviti pertanian dengan cara lama, kita mesti guna cara moden,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Suara Profesor Negara bertajuk “Pasca COVID-19: Strategi Menjana Pendapatan Negara Menerusi Pertanian dan Perikanan” yang diterbitkan Bernama TV dengan kerjasama Majlis Profesor Negara, di sini semalam.

Selain itu, Nazilah berkata jiwa petani juga perlu diterapkan dalam diri seseorang sejak di bangku sekolah bagi melahirkan lebih ramai golongan petani yang berjaya menerusi sistem persekolahan yang mewujudkan silibus pertanian yang mampu menarik minat mereka kelak.

Pensyarah Fakulti Pertanian Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Ghizan Saleh berkata meskipun bidang pertanian sering menjadi pilihan pelajar universiti,  tidak ramai yang menceburi bidang tersebut selepas menamatkan pengajian mereka kerana masih dilihat sebagai industri yang ketinggalan.

“Kita perlu tukar pertanian kita kepada pertanian yang disokong oleh teknologi moden. Hanya dengan melonjakkan kedudukan sektor pertanian yang dilihat sebagai maju dan berdaya saing boleh menarik minat golongan muda menyertai bidang ini dan guna teknologi yang sesuai,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) Azrin Shah Ismail berpendapat semua pihak perlu menyedari akan kepentingan memastikan stok bekalan makanan dalam negara mencukupi terutama ketika menghadapi tempoh pandemik COVID-19.

“Kita memerlukan tenaga muda dalam sektor perikanan supaya ada kesinambungan, terutama untuk tangkap ikan di laut. Kebanyakan nelayan berumur melebihi 50 tahun … kita memang kekurangan tenaga kerja muda. Dalam minda kita tengok nelayan ini banyak yang menggambarkan nelayan itu golongan tua,” katanya

Azrin turut menyarankan agar kerajaan merangka satu strategi yang dapat mengikis tanggapan tersebut serta mewujudkan faktor penarik bagi golongan muda menyertai sektor perikanan seperti dalam bentuk kewangan atau faedah tambahan lain.

— BERNAMA

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU

Pemimpin utama parti lipas dipenjara

NEW DELHI: Dua pemimpin parti pimpinan golongan muda India, Cockroach Janta Party (CJP), telah dikenakan perintah reman selama lima hari pada Rabu, ketika polis memperhebat