ARTIKEL

Kesan PAS tidak bertanding

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KALAU kail panjang sejengkal, lautan dalam jangan diduga.

Peribahasa itu sesuai untuk membaca keputusan PAS tidak meletakkan calon dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri Sarawak ke-13.

Adakah tindakan itu mencerminkan bahawa PAS mengibar bendera putih sebelum turun ke gelanggang sebab tahu akan nasib dan risiko yang menimpanya?

PAS tidak pernah menang dalam mana-mana pilihan raya di Sarawak.

Atau adakah ini strategi jangka panjangnya, dengan memikirkan kepentingan untuk membentuk Kerajaan Persekutuan bersama-sama BN selepas PRU Ke-16 (Persekutuan) selepas Ogos tahun depan ketika sokongan GPS amat diperlukan oleh mana-mana pakatan politik yang mahu berada di Putrajaya?

PAS sedar diri, dan mengukur baju di badan sendiri.

Ya, jangan pula sampai bayang-bayang tidak sepanjang badan.

Kalaupun parti itu bertanding, ia perlu menerima hakikat bahawa peluangnya menang adalah amat tipis.

Pada 19 November lalu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan keputusan itu selepas mengambil kira perkembangan politik semasa dan pertimbangan lain.

Dengan pengundian ditetapkan pada 12 Disember ini, keputusan itu menamatkan teka-teki sama ada PAS akan kembali mencabar GPS di beberapa kawasan terutama Beting Maro.

Ini kali pertama PAS tidak bertanding sejak penampilan sulungnya pada 2001.

Dari satu segi, ini tindakan yang mengejutkan, sementalahan sebelum ini parti itu menyatakan hasrat untuk menampilkan calon di beberapa kawasan.

Sehari kemudian, selepas merasmikan Masjid Kemuyang di Sibu, Premier Sarawak merangkap Pengerusi GPS, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyatakan penghargaan kepada PAS.

Beliau berharap keputusan itu mencerminkan semangat untuk memelihara kestabilan politik Sarawak.

Pada pandangannya, semua pihak mempunyai peranan menjaga kestabilan agar pembangunan negeri dapat diteruskan demi kepentingan rakyat.

PAS Sarawak ditubuhkan pada 22 September 1996 dan mula bertanding dalam PRU Sarawak pada 2001 dengan tiga calon di Samariang, Sadong Jaya dan Beting Maro.

Parti itu bertanding di satu kerusi pada 2006, lima pada 2011 dan 11 pada 2016.

Pada 2021, PAS kembali bertanding di satu kerusi sahaja, iaitu Beting Maro.

Dalam lima pilihan raya itu, PAS tidak pernah memenangi kerusi DUN Sarawak.

Beting Maro ialah satu-satunya kerusi yang ditandinginya setiap kali.

Mengapa Beting Maro? Di situlah PAS pernah hampir menang.

Pada 2011, calonnya meraih 2,678 undi atau 46.6 peratus dan tewas dengan majoriti hanya 391 undi.

Pada 2016, undi PAS meningkat kepada 3,051, tetapi majoriti calon PBB, Razaili Gapor, turut meningkat kepada 1,707.

Sesebuah parti boleh menambah undi, tetapi jika lawannya menambah lebih banyak, jarak antara kedua-duanya tetap melebar.

Kegagalan merapatkan jurang itu di kerusi yang paling lama diusahakannya banyak menjelaskan mengapa PAS masih belum bertapak di DUN Sarawak.

Sebenarnya, lebih 20 tahun lalu, saya pernah menyatakan parti Islam itu, sukar untuk memenangi sebarang kerusi dalam tempoh sekurang-kurangnya 40 tahun.

Keputusan hampir menang di Beting Maro bukan disebabkan oleh kekuatan PAS, tetapi lebih disebabkan isu tempatan dan sabotaj.

Dalam PRU Sarawak 2021, calon tunggal PAS, Mohammad Arifiriazul Paijo, ialah setiausaha PAS Sarawak.

Dalam pertandingan lima penjuru, beliau mendapat 2,058 undi atau 28.2 peratus.

Razaili, atas tiket GPS, menang dengan 3,769 undi atau 51.6 peratus dan majoriti 1,711.

PAS menduduki tempat kedua, mengatasi PKR, seorang calon Bebas dan Parti Bumi Kenyalang.

Berbanding 2016, PAS kehilangan 993 undi dan bahagian undinya susut lebih 10 mata peratusan.

Di Beting Maro, PAS berdepan PBB yang sudah lama berakar dalam masyarakat Melayu dan Melanau.

Razaili dapat berkempen berasaskan rekod khidmat dan

hubungan yang dibina sepanjang menjadi wakil rakyat.

Arifiriazul pula pernah bertanding di Lambir pada 2016 sebelum turun di Beting Maro.

Dalam kawasan yang pengundinya menilai wakil rakyat melalui kehadiran di kampung dan keupayaan membawa masalah setempat kepada agensi kerajaan, kesinambungan itu memberi kelebihan kepada penyandang.

Dalam pertandingan lima penjuru, Razaili meraih lebih separuh undi sah.

Di luar Beting Maro, penyertaan PAS berubah-ubah.

Meskipun parti itu bertanding di 11 kerusi pada 2016, hanya Beting Maro menyaksikan penyertaannya dalam kelima-lima pilihan raya.

Corak itu menunjukkan betapa sukarnya PAS membina tapak pilihan raya yang bertahan di beberapa kawasan serentak.

Hakikatnya, bukan mudah untuk PAS yang dipersepsi sebagai tidak sesuai dengan masyarakat pelbagai kaum di Sarawak yang lebih moderat sifatnya untuk mengalahkan PBB.

PBB terlalu kuat untuk PAS, tetapi itu tidaklah bermakna bahawa parti utama Sarawak itu dapat ambil mudah.

Di kerusi yang lebih rencam, cabarannya ialah meyakinkan pengundi pelbagai kaum dan agama bahawa tawarannya menjawab keutamaan mereka, daripada jalan dan bekalan air hingga kepada pekerjaan serta hak Sarawak.

Ceramah pemimpin pusat boleh menarik perhatian ketika kempen.

Kepercayaan pengundi memerlukan pemimpin tempatan yang dikenali dan khidmat yang dapat dinilai sepanjang penggal.

Pada 2021, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyebut COVID-19 dan keperluan memelihara hubungan dengan GPS di peringkat Persekutuan sebagai antara sebab mengehadkan penyertaan kepada satu kerusi.

Kenyataan Takiyuddin bagi 2026 lebih umum. Berdasarkan rekod pilihan raya, keputusan kali ini boleh dibaca sebagai langkah mengelakkan risiko satu lagi kekalahan dan mengurangkan geseran dengan GPS.

Namun, PAS turut melepaskan peluang menguji sokongan semasa dan mengetengahkan pemimpin tempatan di Beting Maro, Samariang dan Sebuyau, tiga kerusi majoriti Melayu yang disasarkannya sebelum keputusan itu diumumkan.

Bagi GPS, kesan paling nyata tertumpu di Beting Maro, tempat PAS menjadi pencabar terdekatnya pada 2021.

Namun, ke mana perginya 2,058 undi PAS? Sebahagian pengundi mungkin memilih GPS, sebahagian mungkin menyokong calon lain, dan ada yang mungkin tidak keluar mengundi.

Keputusan mereka bergantung pada siapa yang bertanding, penerimaan terhadap calon dan isu setempat.

Ukur baju di badan sendiri.

GPS perlu menilai kelebihannya berdasarkan kekuatan calon dan kerja di lapangan kerana undi yang pernah diberikan kepada PAS tetap milik pengundi.

Di peringkat negeri, GPS sudah memenangi 76 daripada 82 kerusi pada 2021 ketika PAS masih bertanding.

Selepas BN turut memilih untuk tidak bertanding kali ini, GPS mempunyai lebih ruang untuk membawa isu dan keutamaan Sarawak ke hadapan dalam kempen.

Namun, ukuran mandatnya tetap terletak pada sokongan di peti undi.

Di Beting Maro, ukuran manfaat keputusan PAS ialah sejauh mana GPS dapat meyakinkan pengundi yang dahulu memilih pencabar sambil mengekalkan kepercayaan mereka yang sudah menyokongnya.

Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik Sarawak yang sejak sekian lama mengamat politik Sarawak.

BERITA LAIN

Berundurnya Gibran

PELETAKAN jawatan Gibran Rakabuming Raka sebagai Naib Presiden – pengunduran pemimpin muda yang membuka persoalan lebih besar berkaitan kuasa, legasi Jokowi, kedudukan Prabowo dan masa

Lambang Kematangan Sekolah

ADA sesuatu yang cukup istimewa apabila sebuah sekolah menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-60. la bukan sekadar angka yang tertera pada sepanduk sambutan atau sekadar

BERITA TERBARU