ARTIKEL

Penganalisis ramal harga minyak terus menurun pada Disember

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MOSCOW: Harga minyak dijangka terus menurun menjelang akhir tahun apabila eksport dari Asia Barat pulih, menurut analisis firma penyelidikan pasaran Euler yang dipetik RIA Novosti.

Harga minyak mentah penanda aras Dated Brent susut 25 peratus antara 1 Oktober hingga 16 November. Peningkatan import minyak China, yang berada pada paras tertinggi sejak Mac, masih belum tercermin dalam sebut harga pasaran. Pakar mengaitkan perkara ini dengan peningkatan eksport dari Asia Barat.

“Kami menjangkakan harga akan terus menurun pada Disember kerana kami percaya eksport dari Asia Barat secara beransur-ansur mengimbangi pasaran,” menurut analisis itu.

Eksport minyak dari Asia Barat meningkat 29 peratus dalam tempoh seminggu pada lewat Oktober, mencecah 14.2 juta tong sehari, manakala eksport produk petroleum melonjak 59 peratus.

“Apabila jumlah eksport dari rantau itu stabil, penurunan lanjut bagi kedua-dua harga minyak dan ‘crack spreads’ (perbezaan harga antara minyak mentah dan produk bertapisnya) berkemungkinan berlaku,” kata penganalisis.

Pada masa sama, penurunan 50 peratus kos perkapalan berbanding paras tertinggi pada Oktober telah mengurangkan kos penghantaran minyak mentah Afrika dan Brazil ke China, yang dijadual tiba pada Disember dan Januari, sebanyak US$5 hingga US$10 setong, menurut penyelidik.

Penurunan harga itu sudah mendorong China menambah simpanan rizabnya, berdasarkan anggaran Euler.

Stok simpanan minyak negara itu meningkat 2.1 juta tan pada Oktober, manakala kadar penggunaan kilang penapisan turun tiga mata peratusan kepada 80.1 peratus.

Bagaimanapun, sebaik sahaja inventori dipulihkan, penganalisis menjangkakan peningkatan dalam penapisan dan eksport produk petroleum dari Asia yang akan mengecilkan “crack spreads” global.

Sementara itu, Amerika Syarikat sedang meningkatkan eksportnya. Pengeluaran minyak AS melepasi 14 juta tong sehari pada awal November, mencecah paras tertinggi sepanjang zaman.

Penganalisis mengunjurkan peningkatan output produk petroleum daripada kilang penapisan AS bermula November yang akan membantu meredakan kekurangan bekalan pasaran.

Eropah pula dijadual melepaskan 42.6 juta tong minyak dan produk petroleum, termasuk 20.5 juta tong diesel, daripada rizab strategiknya antara November hingga Januari, menurut Euler. — Bernama

BERITA LAIN

Keadilan belum selesai

SELEPAS bertahun-tahun menuntut keadilan, penderitaan etnik Rohingya akhirnya mendapat pengiktirafan di pentas undang-undang antarabangsa apabila Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan Myanmar bertanggungjawab melakukan genosid terhadap

BERITA TERBARU

SAYFT 2026: Axis Kids Academy muncul juara

SRI AMAN: Pasukan Axis Kids Academy Kuching mencipta sensasi tersendiri apabila berjaya merangkul gelaran juara Kejohanan Bola Sepak Remaja Bawah 14 Tahun 2026 (SAYFT 2026)

DBKU, PDRM SARAWAK perkukuh kerjasama

DEWAN Bandaraya Kuching Utara (DBKU) mengadakan kunjungan hormat kepada Pesuruhjaya Polis Sarawak, CP Saifullizan Ishak bagi memperkukuh kerjasama strategik dalam aspek keselamatan dan ketenteraman awam