ARTIKEL

Misnu (lima kanan) merakam gambar kenangan bersama-sama Barry Tan (empat kiri) selepas menyempurnakan penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia di Amity Venue di Kompleks UNIFOR, di sini, hari ini.

Kesedaran pengusaha premis makanan untuk dapat sijil halal di Sarawak terus meningkat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tahap kesedaran dalam kalangan pengusaha premis makanan di Sarawak untuk memperoleh Sijil Pengesahan Halal Malaysia terus menunjukkan peningkatan positif termasuk Amity Events Sdn Bhd yang menerima pensijilan tersebut hari ini.

Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak (MIS), Datuk Misnu Taha, berkata pihaknya telah menjalankan pemeriksaan menyeluruh, bukan sahaja melibatkan bahan yang digunakan, malah turut menilai aspek kebersihan premis makanan berkenaan.

Misnu ketika ditemui media.

Katanya, pemeriksaan di Amity Venue yang beroperasi di bangunan Unit Hal Ehwal Agama-agama Lain (UNIFOR) telah dilaksanakan dan setakat ini, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) mengesahkan premis tersebut layak menerima sijil halal.

“Kami juga, insya-Allah, akan menjalankan pemeriksaan secara mengejut dari semasa ke semasa.

Misnu diiringi Barry Tan serta wakil yang lain mengadakan lawatan di bahagian dapur Amity Venue.

Proses ini akan terus dilaksanakan tanpa perlu menunggu aduan kerana menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan pematuhan sepenuhnya.

“Sekiranya didapati ada pihak yang tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan, tindakan sewajarnya akan diambil. Ini adalah amanah yang diberikan oleh kerajaan kepada kami untuk memastikan setiap aspek halal sentiasa dipatuhi,” katanya.

Misnu diiringi Barry Tan serta wakil yang lain mengadakan lawatan di bahagian dapur Amity Venue.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia kepada Amity Events Sdn Bhd di Amity Venue di Kompleks UNIFOR, di sini hari ini.

Terdahulu, Amity Venue juga mula beroperasi pada awal Oktober tahun lalu dan menjadi antara lokasi pilihan agensi kerajaan, swasta bahkan orang awam untuk menganjurkan pelbagai acara termasuk makan malam, pertandingan karaoke dan sebagainya.

Majlis tersebut turut menyaksikan penyerahan Sijil Pengesahan Halal Malaysia disempurnakan oleh Misnu kepada Pengarah Amity Events Sdn Bhd, Datuk Barry Tan.

Sementara itu, mengulas mengenai prestasi pensijilan halal di Sarawak, Misnu menambah bahawa ia terus menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah permohonan Sijil Pengesahan Halal Malaysia meningkat daripada 722 permohonan pada 2024 kepada 1,010 permohonan pada 2025, iaitu peningkatan sebanyak 39.89 peratus.

“Bagi tempoh 10 tahun, dari 2015 hingga 2025, purata peningkatan pemegang sijil halal di Sarawak adalah sebanyak 14.38 peratus.

“Manakala, bagi suku pertama 2026, sebanyak 219 permohonan telah diterima dan daripada jumlah tersebut, 73 permohonan ditolak kerana tidak memenuhi syarat yang ditetapkan, manakala setakat ini sebanyak 50 permohonan telah diluluskan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menyeru kerjasama masyarakat untuk melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya terdapat premis makanan yang tidak memiliki pensijilan halal tetapi mengaku sebagai halal.

“Sekiranya ada restoran yang tidak mempunyai sijil halal tetapi mendakwa premis mereka halal, sila buat laporan dan kita akan ambil tindakan kerana tidak mahu perkara yang tidak baik berlaku.

“Justeru, saya juga berharap lebih banyak pengusaha tampil mendapatkan sijil halal supaya Sarawak terus menjadi destinasi mesra pelancong Muslim tanpa sebarang kekangan untuk mendapatkan makanan halal.

“Ini juga yang kita harapkan daripada Amity Venue dan insya-Allah kita akan turut membantu mempromosikan premis halal melalui program promosi yang berkaitan,” jelasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU