ARTIKEL

Ibrahim mewakili Premier merakam kenangan pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Ketiga Mengenai Pengurusan dan Kejuruteraan Keselamatan Empangan 2025, di sini, hari ini.

Keselamatan empangan asas peralihan tenaga hijau, jamin bekalan air Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Isu keselamatan empangan merupakan keutamaan strategik Sarawak yang menjadi asas kepada keseluruhan hala tuju pembangunan mampan negeri di bawah Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 (PCDS) 2030.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ia turut menjadi tunjang utama agenda peralihan tenaga hijau dan pembangunan mampan negeri yang menekankan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar untuk manfaat generasi akan datang.

“Empangan yang selamat bukan sahaja menjamin bekalan air dan tenaga, tetapi menjadi pemacu kepada peralihan tenaga hijau yang dinamik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Utiliti (Sarawak Energy Berhad dan PETROS), Datuk Ibrahim Baki pada Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Ketiga Mengenai Pengurusan dan Kejuruteraan Keselamatan Empangan 2025, di sini, hari ini.

Mengambil contoh Empangan Hidroelektrik Batang Ai yang menyambut ulang tahun ke-40 pengoperasian, beliau berkata ia bukti wawasan jauh pemimpin terdahulu yang berani meneroka bidang tenaga boleh diperbaharui ketika masih baharu di Malaysia.

“Pendekatan berwawasan itu memberi manfaat sosioekonomi selama empat dekad kepada Sarawak sejak empangan Batang Ai mula beroperasi.

“Kini, ia terus berkembang maju dan dijadikan tapak ladang solar terapung Batang Ai, model hidro-solar hibrid yang pertama seumpamanya di Malaysia.

“Tenaga bersih, selamat dan boleh dipercayai yang dihasilkan itu bukan hanya untuk Sarawak, tetapi juga menyumbang kepada keselamatan tenaga serantau melalui inisiatif Grid Kuasa ASEAN,” jelasnya.

Dalam pada itu ujarnya, cabaran dalam pengurusan keselamatan empangan termasuk perubahan iklim, aset yang menua dan perlindungan komuniti memerlukan kerjasama semua pihak berkepentingan di peringkat antarabangsa.

“Sarawak sedia berkongsi pengalaman dalam mengurus empangan besar di persekitaran tropika dan pada masa sama bersedia mengamalkan amalan terbaik dunia melalui hubungan antarabangsa,” tegasnya.

Di peringkat kebangsaan, beliau menyifatkan penubuhan Pusat Empangan Negara di bawah Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air sebagai satu lagi pencapaian besar Malaysia dalam memperkukuh tadbir urus keselamatan empangan.
Sementara itu, persidangan yang julung kali diadakan di Borneo ini menghimpunkan pakar kejuruteraan empangan dari seluruh dunia, termasuk penceramah utama antarabangsa dalam bidang penyelenggaraan ramalan, adaptasi perubahan iklim dan pengurusan risiko.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU