ARTIKEL

Johnny Pang melakukan pelepasan simbolik peserta Pertandingan Lalu Lintas Sarawak Peringkat Bahagian Bintulu 2026.

Keselamatan jalan raya perlu dipupuk sejak kecil – Johnny Pang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Kempen keselamatan jalan raya dalam kalangan kanak-kanak perlu diperkukuh melalui pendidikan dan latihan praktikal sejak usia muda bagi membentuk generasi pengguna jalan raya yang berdisiplin serta bertanggungjawab.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata kanak-kanak perlu memahami peraturan dan amalan keselamatan jalan raya sejak awal kerana mereka turut terdedah kepada risiko kemalangan, sama ada sebagai pejalan kaki, penunggang basikal, pembonceng motosikal atau penumpang kenderaan.

Menurutnya, pendidikan keselamatan tidak seharusnya terhad kepada penerangan di bilik darjah, sebaliknya perlu disertai latihan praktikal supaya kanak-kanak dapat memahami dan mengamalkan langkah keselamatan dalam situasi sebenar.

“Kesedaran dan disiplin perlu dipupuk sejak kecil supaya menjadi amalan sepanjang hayat. Kita tidak boleh menunggu sehingga seseorang mula belajar memandu untuk mengajarnya tentang keselamatan jalan raya,” katanya.

Johnny Pang merakam gambar bersama sebahagian peserta Pertandingan Lalu Lintas Sarawak Peringkat Bahagian Bintulu 2026.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Pertandingan Lalu Lintas Sarawak Peringkat Bahagian Bintulu 2026 di Taman Lalu Lintas Bintulu pada Sabtu.

Johnny Pang berkata melalui program itu, murid berpeluang mempelajari cara mengenali papan tanda, memahami fungsi lampu isyarat dan menggunakan lintasan pejalan kaki dengan betul, sekali gus meningkatkan keupayaan mereka mengenal pasti risiko ketika berada di jalan raya.

Beliau turut menggalakkan peserta berkongsi pengetahuan yang diperoleh dengan keluarga dan rakan supaya mesej keselamatan jalan raya dapat diperluas kepada masyarakat, selain menjadikan kanak-kanak sebagai ejen perubahan dalam membudayakan amalan selamat.

Pada masa sama, beliau menegaskan keberkesanan kempen keselamatan kanak-kanak turut bergantung kepada peranan ibu bapa dan orang dewasa sebagai teladan, termasuk mematuhi peraturan lalu lintas, tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu dan memastikan tali pinggang keledar dipakai.

Johnny Pang menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Lalu Lintas Sarawak Peringkat Bahagian Bintulu 2026.

Menurutnya, kanak-kanak bukan sahaja belajar melalui nasihat, malah cenderung mencontohi tingkah laku orang dewasa dalam kehidupan seharian.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak, khususnya Kementerian Pengangkutan Sarawak, atas kelulusan peruntukan RM350,000 bagi menaik taraf Taman Lalu Lintas Bintulu.

Beliau berharap kemudahan itu dapat digunakan secara berterusan oleh sekolah untuk latihan praktikal dan program pendidikan keselamatan jalan raya, bukan hanya ketika pertandingan, bagi memastikan pendedahan kepada kanak-kanak dapat dilaksanakan secara konsisten.

Katanya, pembangunan Bintulu sebagai pusat perindustrian dan ekonomi penting di Sarawak menjadikan usaha meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya semakin penting, khususnya dalam kalangan pengguna muda.

Sehubungan itu, beliau berkata pembangunan infrastruktur jalan raya perlu disokong pendidikan keselamatan, kempen kesedaran awam dan pematuhan undang-undang bagi mengurangkan risiko kemalangan.

Pertandingan Lalu Lintas Sarawak mula diperkenalkan pada 1963 sebelum dihidupkan semula pada 2024 oleh Kementerian Pengangkutan Sarawak sebagai usaha memperkukuh pendidikan keselamatan jalan raya, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Justeru, beliau berharap program itu dapat diteruskan dan diperluas ke lebih banyak sekolah supaya lebih ramai murid mendapat peluang mempelajari serta mempraktikkan langkah keselamatan jalan raya sejak usia muda.

BERITA LAIN

400 orang himpun di Ibu Pejabat Pengakap Sarawak

KUCHING: Kira-kira 400 orang terdiri daripada ahli Pengakap, pemimpin Pengakap, pesuruhjaya, sukarelawan, guru dan ibu bapa berhimpun di Ibu Pejabat Pengakap Sarawak di Batu Lintang,

BERITA TERBARU

400 orang himpun di Ibu Pejabat Pengakap Sarawak

KUCHING: Kira-kira 400 orang terdiri daripada ahli Pengakap, pemimpin Pengakap, pesuruhjaya, sukarelawan, guru dan ibu bapa berhimpun di Ibu Pejabat Pengakap Sarawak di Batu Lintang,