ARTIKEL

Keselamatan MyKad baharu, kerjasama Malaysia-Indonesia tangani jerebu tumpuan Dewan Rakyat hari ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Justifikasi pengenalan MyKad generasi baharu dan tahap keselamatannya serta kerjasama antara Malaysia dengan Indonesia dalam menangani jerebu rentas sempadan antara perkara yang dijangka menjadi tumpuan persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, pada sesi soal jawab, Mohamad Shafizan Kepli (GPS-Batang Lupar) meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan sejauh mana peningkatan ciri keselamatan, teknologi cip dan sistem pengesahan identiti pada MyKad baharu dapat membanteras pemalsuan, pengklonan dan penyalahgunaan identiti rakyat selain memastikan data peribadi mereka sentiasa terpelihara.

Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) pula mahu Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menjelaskan tindakan diplomatik serta kerjasama yang telah dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia bersama dengan Kerajaan Indonesia bagi mengurangkan risiko jerebu rentas sempadan.

Turut dijangka menjadi tumpuan, soalan Yeo Bee Yin (PH-Puchong) kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri mengenai status terkini inisiatif melahirkan 60,000 tenaga kerja berkemahiran dalam bidang semikonduktor di bawah Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) termasuk jumlah individu yang telah dilatih serta perbelanjaan peruntukan setakat ini.

Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) pula meminta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan peratusan usahawan mikro yang menerima pembiayaan serta bantuan daripada agensi kementerian itu sepanjang 2023 hingga 2026, dan mereka yang berjaya meningkatkan kategori perniagaan kepada perusahaan kecil atau sederhana, serta kadar kegagalan perniagaan selepas tiga tahun.

Selain itu, Zahir Hassan (PH-Wangsa Maju) akan mengajukan soalan kepada Menteri Pengangkutan mengenai jadual pelaksanaan sepenuhnya sistem pembayaran terbuka bagi semua perkhidmatan pengangkutan awam di Lembah Klang.

Selesai sesi soal jawab, persidangan dijadual diteruskan dengan pembentangan Rang Undang-Undang Pendaftaran Jenayah dan Orang Yang Tidak Diingini (Pindaan) 2026 bagi bacaan kali pertama oleh Menteri Dalam Negeri.

Persidangan kemudian akan menyambung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada peringkat dasar susulan pembentangan Belanjawan 2027 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan pada 9 Okt lepas.

Berdasarkan takwim Mesyuarat Ketiga Penggal Kelima Parlimen ke-15, perbahasan Belanjawan 2027 pada peringkat dasar berlangsung dari 12 hingga 22 Okt, sebelum sesi penggulungan oleh menteri berkaitan selama empat hari bermula 26 Okt.

Persidangan Dewan Rakyat berlangsung selama 37 hari hingga 8 Dis ini. — Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU