MUKAH: Komitmen berterusan Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam memperkasakan pembangunan luar bandar, pendidikan, ekonomi dan kesejahteraan rakyat terus menjadi pemangkin kepada kemajuan negeri ini.
ADUN Balingian, Abdul Yakub Arbi berkata, kestabilan politik serta semangat perpaduan yang dibawa kerajaan membolehkan pelbagai agenda pembangunan dilaksanakan demi manfaat rakyat di seluruh Sarawak termasuk Bahagian Mukah.

“Pembangunan yang sedang dan dilaksanakan perlu diteruskan agar rakyat dapat menikmati kehidupan yang lebih baik serta sejahtera pada masa hadapan.
“Semangat perpaduan dan kestabilan politik amat penting bagi memastikan pembangunan dapat diteruskan demi kesejahteraan rakyat.


“Kita perlu terus menyokong usaha-usaha pembangunan yang membawa manfaat kepada masyarakat tanpa mengira kaum dan latar belakang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Ngabang Santai bersama ADUN Balingian sempena Perayaan Hari Gawai 2026 di Rh Dunstan Bee Malang, di sini, malam tadi.


