KUCHING: Kestabilan politik dan rekod pembangunan meletakkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada kedudukan strategik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-13, namun gabungan itu perlu memastikan manfaat ekonomi terus dirasai rakyat.
Penganalisis politik, Datuk Dr Lee Kuok Tiung berkata, pendekatan pentadbiran GPS yang berani dan inklusif dapat dilihat menerusi pembangunan infrastruktur serta pelaksanaan pendidikan percuma di Sarawak.
Kedua-dua aspek itu antara pencapaian yang mudah dinilai rakyat berbanding inisiatif lain yang memerlukan masa untuk menunjukkan kesannya.
Beliau berkata, dasar pendidikan percuma turut mendorong ibu bapa membawa anak mereka kembali ke Sarawak untuk melanjutkan pengajian, sekali gus memberi manfaat kepada keluarga.
Menurutnya, kestabilan politik Sarawak juga memberikan kelebihan kepada GPS ketika landskap politik nasional terus berubah.
Bagaimanapun, rekod pembangunan sahaja tidak mencukupi, kerana rakyat khususnya golongan muda, turut mengharapkan peluang pekerjaan yang lebih jelas.
Lee berkata, pelaburan dalam sektor tenaga hijau dan industri hiliran, termasuk perkembangan melibatkan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), perlu diterjemahkan kepada peluang pekerjaan yang nyata untuk rakyat.
Pada masa sama, kos sara hidup kekal sebagai isu utama kerana berkait langsung dengan perbelanjaan harian semua lapisan masyarakat.
Beliau turut menyifatkan usaha memperjuangkan hak Sarawak, termasuk langkah berkaitan Cukai Jualan Negeri (SST) antara pencapaian yang boleh diketengahkan GPS kepada pengundi.
Dalam mendekati pengundi muda, katanya, media sosial perlu dimanfaatkan secara berkesan kerana golongan itu banyak mendapatkan maklumat dan berinteraksi melalui platform berkenaan.
Mengulas cabaran menjelang PRN, Lee berkata, GPS perlu memastikan kestabilan politiknya tidak terjejas akibat ketegangan dalaman, khususnya berkaitan pemilihan calon dan persaingan kerusi.
Justeru, keupayaan mengurus persaingan dalaman serta memastikan pembangunan dan manfaat ekonomi terus dirasai rakyat menjadi antara faktor penting bagi GPS menghadapi PRN akan datang.



