KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) tampil menyantuni seorang guru yang sedang menjalani tempoh pemulihan selepas menjalani pembedahan amputasi kaki kiri menerusi penyampaian Sumbangan Kebajikan Penyakit Kronik KGBS.
Penerima sumbangan, Ustazah Mastika Bohari, guru di Sekolah Kebangsaan RPR Jalan Astana, kini sudah hampir dua tahun menjalani cuti sakit dan masih menerima rawatan susulan serta fisioterapi secara berkala.
Sumbangan berkenaan disampaikan Setiausaha Agung KGBS, Sollehuddin Saree, yang mewakili kesatuan sebagai tanda keprihatinan terhadap keadaan dan kebajikan anggotanya yang sedang berdepan cabaran kesihatan.
Ustazah Mastika yang menetap di RPR Fasa 2, Jalan Astana, bersama ibu dan adiknya terus memperlihatkan ketabahan dalam melalui proses rawatan serta pemulihan yang memerlukan kekuatan fizikal dan mental.
Presiden KGBS, Zulkiflee Sebli, berkata kesatuan sentiasa memberi perhatian terhadap kebajikan anggota, selain memperjuangkan kepentingan mereka berkaitan perkhidmatan dan kerjaya.
“KGBS mahu memastikan anggota yang berdepan masalah kesihatan serius tidak berasa tersisih, sebaliknya sentiasa mendapat sokongan dan perhatian daripada warga kesatuan.
“Walaupun sumbangan ini tidak mungkin dapat mengatasi semua kesukaran yang dihadapi, kami berharap bantuan ini dapat mengurangkan sedikit beban serta menjadi tanda sokongan moral KGBS kepada beliau dan keluarganya,” katanya.
Beliau berkata, usaha membantu anggota yang berada dalam keadaan sukar merupakan sebahagian daripada komitmen KGBS dalam memperkukuh kebajikan serta kesejahteraan ahli dan keluarga mereka.
Dalam pada itu, KGBS turut menzahirkan penghargaan kepada keluarga Ustazah Mastika yang sentiasa berada di sisi beliau sepanjang tempoh rawatan, selain mendoakan agar beliau dikurniakan kekuatan, ketabahan dan kesihatan yang semakin baik serta dipermudahkan dalam meneruskan fisioterapi dan proses pemulihan.


