KUCHING: Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menggesa Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) mempertimbangkan pengeluaran pekeliling khas bagi pengurusan persekolahan pasca banjir.
Presidennya, Zulkiflee Sebli berkata, pekeliling itu wajar merangkumi penangguhan sebarang bayaran berkaitan sesi persekolahan bagi kawasan yang terjejas teruk.
“Bencana banjir yang melanda ketika ini memberi impak besar kepada sekolah, terutamanya di kawasan pedalaman yang turut dijadikan sebagai Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
“Minggu-minggu mendatang dijangka mencabar bagi pihak sekolah, kerana pasca banjir bukan sahaja melibatkan pemulihan infrastruktur tetapi juga kebajikan guru dan murid yang terjejas.
“Justeru, kita menyarankan agar JPNS dapat mengeluarkan pekeliling khas untuk menangguhkan sebarang bayaran berkaitan pembukaan sesi persekolahan akan datang,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mencadangkan agar Kerajaan Sarawak atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mempertimbangkan bantuan kepada guru yang mengalami kerugian dan kerosakan kuarters akibat banjir.
“Langkah ini bukan sahaja dapat meringankan beban mereka, malah memberi semangat kepada warga pendidik untuk pulih daripada trauma yang dialami.
“KGBS juga berharap cuti khas dapat diberikan kepada guru yang kembali ke stesen bertugas sehari atau dua hari sebelum sesi persekolahan bermula, bagi memberi ruang kepada mereka mengemas dan membaiki kediaman,” ujarnya.
Selain itu, beliau menyarankan pengurusan sekolah meneliti sumbangan dan kutipan derma daripada ibu bapa bagi membantu pengurusan pasca banjir khususnya di sekolah yang terjejas teruk.
“Kami juga mengharapkan KPM turun padang untuk menilai keadaan sekolah yang terjejas bagi memastikan keselamatan pelajar dan guru sebelum sesi persekolahan dibuka semula.
“Sekiranya perlu, pembinaan sekolah baharu di lokasi lebih selamat dan kemudahan kuarters yang lebih baik harus menjadi keutamaan dalam usaha jangka panjang menangani impak bencana seperti ini,” tegasnya.
Untuk rekod, Sarawak minggu lalu dilanda banjir di beberapa kawasan, dengan Bintulu antara yang paling terjejas akibat banjir besar, manakala tanah runtuh di Miri telah mengakibatkan kehilangan nyawa.


