KUCHING: Dua rakan baik masing-masing dikenakan hukuman penjara oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana sengaja memecahkan cermin kereta jenis Perodua Kenari yang ditinggalkan di tepi jalan raya kerana tayar pancit, awal Oktober ini.
Seng, 49, dan Suzan, 32, masing-masing mengaku bersalah atas satu pertuduhan yang dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Ling Hui Chuan.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana sengaja melakukan khianat merosakkan kereta milik seorang lelaki berusia 38 tahun.
Mereka melakukan kesalahan itu, di tepi Jalan Stephen Yong, sekitar 12.30 tengah malam, 5 Oktober lalu.
Seng dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan, manakala Suzan dipenjara 15 bulan.
Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara berkuat kuasa hari ini.
Menurut fakta kes, pada hari kejadian, pengadu pergi ke tempat keretanya yang tersadai kerana tayar pancit mendapati cermin bahagian penumpang hadapan dipecahkan dan sebuah permainan LCD telah hilang.
Dia juga melihat dua orang yang dikenali berada di tempat keretanya dalam keadaan mencurigakan.
Laporan polis dibuat seterusnya membawa kepada penahanan kedua-dua tertuduh pada 7 Oktober lalu.
Hasil siasatan mendapati kedua-dua tertuduh melakukan khianat merosakkan sebuah kereta milik pengadu hingga menyebabkan kerugian sebanyak RM508.
Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Aqila Morsalin, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.


