KUCHING: Dua petinju handalan dari Sarawak, Daeloniel Mcdelon dan Mikail Ghazali bakal mewakili Malaysia pada aksi Kejohanan Twins Championship 102 yang akan berlangsung di Arena Nilai pada 30 Ogos ini.
Mcdelon atau dikenali Kilat Boy bakal bertemu dengan jaguh Thailand, Natthawat untuk merebut tali pinggang WBC Asia Continental Super Battamweight.
Manakala Miki bakal menentang wakil dari Indonesia, Misel Sileman dalam kelas Flyweight bagi menentukan kedududukan terkini selaku petinju profesional dunia.
Kedua-dua petinju berbakat itu menegaskan mereka kini dalam fasa penurunan berat badan untuk mengekalkan berat setimpal menjelang kejohanan itu kelak.
Pada masa sama, mereka mengakui tidak mahu memandang mudah pihak lawan memandangkan aksi kali ini merupakan pertemuan pertama mereka dengan lawan masing-masing di gelanggang.
Bagi Kilat Boy, kejohanan ini merupakan peluang keemasan untuknya melangkah ke arah temasya tinju dunia sekali gus berharap mampu memberikan saingan pada acara tersebut.
“Persiapan berjalan dengan lancar, ini sudah termasuk minggu ke-10 latihan sejak saya berehat seketika akibat kecederaan belakang dan bahu.
“Selepas berehat panjang dua minggu, saya kini kembali dengan lebih bersemangat dan mengikuti kem latihan semenjak sembuh daripada kecederaan,” kata Mcdelon.
Sementara Miki menegaskan beliau berharap mampu memberikan aksi terbaik memandangkan pembabitannya pada acara kali ini merupakan peluang keemasan diberikan pihak penganjur kepadanya.
Bercakap tentang lawannya, beliau mengakui tidak gentar berikutan pengalaman sebelum ini sudah pernah menentang lawan yang lebih berumur.
“Lawan kali ini sebaya saya sendiri, dan saya berpendapat lawan tetap lawan, kami sama-sama manusia dan kami sama-sama makan nasi,” katanya.
Kedua-dua individu terbabit hadir pada sidang media Twins Championship 102 yang diadakan di pusat beli-belah Cityone, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Twins Championship Mohd Fitri Omar dan Ketua Siara n dan Trafik SMG Mohd Aizal Ibrahim.

