SIMANGGANG: Petinju nombor satu Superbattamweight 55kg negara, Daeloniel McDelon Bong, menepati ramalan selepas menumpaskan lawan dari Indonesia, Yenson Mustamu, dalam kejohanan Superbattamweight TWINS Championship 2025 yang berlangsung di Stadium Tertutup Sri Aman, pada Sabtu.
Jaguh kelahiran Sri Aman itu memperoleh kemenangan menerusi kiraan mata sepanjang empat pusingan, menyaksikan perlawanan berlangsung sengit antara kedua-dua petinju.
Kehadiran sekitar 4,000 penonton yang membanjiri stadium turut menjadi pendorong kepada Kilat Boy untuk terus mendominasi perlawanan dengan aksi memukau.
Beliau berjaya mempamerkan serangan bertali arus ke arah Yenson yang dilihat lebih banyak bertahan dan cuba mencari peluang keemasan untuk membalas serangan.
Namun, ketangkasan Kilat Boy sukar dinafikan sebelum lonceng penamat pusingan terakhir dibunyikan, sekali gus menyaksikan beliau dinobatkan sebagai pemenang.
Sementara itu, enam perlawanan lain turut berlangsung membabitkan beberapa kategori utama.
Wakil kategori heavyweight Sarawak, Aidid, gagal memanfaatkan kelebihan bermain di laman sendiri selepas tumpas kepada wakil Sabah, Hisyam, menerusi kiraan mata pada tiga pusingan.
Kategori minimumweight wanita turut menyaksikan petinju Sarawak, Patricia, kecundang kepada Meredy dari Sabah, diikuti kekalahan kategori middleweight apabila Gideon tewas kepada Aswan menerusi kiraan mata dalam aksi tiga pusingan.
Terdahulu, kejohanan yang melabuhkan tirai pada hari sama turut disaksikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis.



