SARAWAK: Petinju Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA), Daeloniel Mcdelon Bong, sekali lagi melakar kejayaan apabila beliau menumpaskan lawannya pada Kejohanan Tinju Antarabangsa Johor (Johor International Boxing Championship) 2025 di Arena Larkin, Johor Bahru, pada Ahad.
Daeloniel, atau lebih dikenali dengan jolokan Kilat Boy, hanya mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk menentukan kemenangan menerusi keputusan ‘teknikal knockout’ pada pusingan kedua.
Beliau menewaskan wakil Filipina, Prince Andrew Laurio, yang terpaksa akur kepada kelebihan petinju cilik yang berasal dari Sri Aman itu.
Kilat Boy bermula garang dengan tumbukan bertubi-tubi ke atas Prince yang memberikan saingan sengit pada pusingan pertama pertarungan.
Pusingan kedua menyaksikan Kilat Boy meningkatkan serangan sehingga satu tumbukan padunya terkena sasaran, menyebabkan Prince tersungkur pada permulaan aksi, namun perlawanan diteruskan selepas Prince bangkit dan dilihat masih mampu memberikan tentangan.
Walaupun demikian, wakil Filipina itu ternyata gagal meneruskan rentak apabila beliau dilihat terus diasak oleh Kilat Boy yang seakan-akan sudah menguasai pertarungan.
Melihat keadaan Prince yang tidak bermaya, pengadil akhirnya memberhentikan pertarungan.
Kejayaan itu sekali gus menunjukkan persiapan Kilat Boy selama empat bulan menjelang aksi itu terbalas dengan lakaran kemenangan yang memuaskan.

