KUCHING: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing, menandatangani perjanjian khas dengan pembekal tong gas petroleum cecair (LPG) PETROS bagi memudahkan penduduk di kawasan DUN Dudong menukarkan silinder gas berkenaan.
Adun Dudong itu berkata, perjanjian itu membolehkan pihak pembekal menyediakan 300 silinder LPG merah untuk ditukar dengan yang kuning.
“Semasa lawatan saya di kawasan pilihan raya baru-baru ini, saya menerima banyak aduan daripada orang ramai yang masih menghadapi kesukaran untuk menukar silinder LPG kuning kepada yang merah.
“Untuk membantu mereka yang memerlukan, saya membuat perjanjian khas dengan pembekal…Penduduk Dudong yang memerlukan boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Dudong di talian 084-325779 atau 084-326779.
“Kakitangan pusat akan membantu menyelaras dan mengatur pertukaran secepat mungkin,” katanya menerusi Facebook rasminya hari ini.
Menurut Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) itu, kekurangan silinder LPG merah di pasaran menyebabkan ramai penduduk kecewa kerana menghadapi kesukaran menukar silinder kuning mereka, sekali gus menimbulkan pelbagai kesulitan dalam kehidupan seharian.
Bagi menangani isu tersebut, katanya PDP sebelum ini menganjurkan acara pertukaran silinder kuning ke merah di kawasan Durin dan Pulau Li Hua yang mendapat sambutan hangat daripada penduduk.
“PDP akan terus memantau isu ini dengan teliti dan berusaha memainkan peranan bagi meringankan beban yang dihadapi rakyat,” ujarnya.

