Kisah guru pedalaman: Hendak seribu daya

BAGI pelajar bukan peperiksaan, sesi Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) tetap berjalan seperti biasa meskipun kekurangan peranti teknologi dan capaian Internet yang membelenggu pendidik termasuk ibu bapa.

Namun keadaan berbeza bagi Jenny Geoery, 27, salah seorang Guru Kelas Pemulihan Khas yang mengajar di kawasan pedalaman Sarawak.

Dia mengakui kekangan untuk meneruskan sesi PdPR yang dihadapi kini cukup mencabar buat dirinya yang telah berkhidmat lebih dua tahun sebagai guru di sana.

“Saya sangat risau kerana ada pelajar yang semakin ketinggalan.

Masih ada murid kelas pemulihan belum dapat menguasai kemahiran membaca, menulis dan mengira (3M) semasa tempoh awal PdPR yang diperkenal tahun lalu.

BAHAN pembelajaran akan dihantar terus ke rumah pelajar.

“Sekarang ada antara mereka berada di tahun tiga.

Bagaimana sekiranya mereka memasuki tahun empat masih belum dapat menguasai 3M ini?

Saya sangat kasihan akan mereka,” katanya yang mengajar lebih 71 pelajar di sekolah berkenaan.

Itu antara kerisauan yang dihadapi Jenny yang kini menjadi Guru Kelas Pemulihan Khas di Sekolah Kebangsaan Long Kevok Baram.

Jenny yang dihubungi Suara Sarawak melalui Whatsapp baru-baru ini menjelaskan, sebagai guru, agak sukar baginya berkomunikasi dengan pelajar dan ibu bapa kerana masalah tempat tinggal yang agak jauh dari kawasan sekolah.

JENNY Geoery bersama-sama anak muridnya.

“Ini ditambah lagi dengan kesukaran untuk berhubung secara maya seperti komputer riba, tablet mahupun telefon pintar,” katanya lagi.

Jenny mengakui proses PdPR tidak dapat dilaksanakan dengan baik, namun pihak sekolah dengan bantuan semua kakitangan mengambil inisiatif menghantar tugasan yang disediakan dalam bentuk lembaran kerja ke kampung berdekatan.

“Manakala untuk kampung yang jauh, kami akan menghantar tugasan tersebut di Long Bedian iaitu salah satu kampung yang selalu dikunjungi oleh semua penduduk kampung di kawasan ini.

“Saya akan berjalan kaki untuk menghantar tugasan ke rumah pelajar yang biasanya mengambil masa lebih 30 minit menggunakan jalan balak dari,” jelasnya lagi.

Jenny mengakui sukar bagi pelajarnya untuk mengembalikan tugasan yang telah disiapkan mengikut masa ditetapkan.

“Sukar untuk saya menghantar kembali tugasan yang telah disemak kepada pelajar.

“Faktor cuaca juga menyebabkan ibu bapa tidak dapat menghantar tugasan kembali kerana keadaan jalan tidak selamat untuk dilalui, selain jarak kampung ke sekolah yang agak jauh,” katanya.