1 KAKAK 7 PONAKAN ialah sebuah filem Indonesia bertemakan kekeluargaan yang sarat emosi, mengisahkan perjalanan seorang lelaki muda yang terpaksa mengorbankan impian dan masa depannya demi menjaga anak-anak saudaranya selepas tragedi tidak diduga.
Diarahkan oleh Yandy Laurens dan diadaptasi daripada sinetron popular pada 1996 hasil karya Arswendo Atmowiloto, filem ini menyajikan kisah menyentuh hati tentang erti sebenar sebuah keluarga dan pengorbanan.
Filem ini mengisahkan Hendarmoko, atau lebih dikenali sebagai Moko, yang dilakonkan dengan penuh penghayatan oleh Chicco Kurniawan.
Beliau ialah seorang pelajar jurusan seni bina yang hampir menamatkan pengajiannya, dengan impian serta kekasih yang setia menantinya.
Moko tinggal bersama-sama kakaknya, Agnes, dan abang iparnya, Atmo, serta dua anak mereka, Woko dan Nina, serta seorang anak saudara Atmo bernama Ano.
Namun, segala-galanya berubah dalam sekelip mata apabila abang iparnya meninggal dunia akibat serangan jantung, diikuti kakaknya yang meninggal dunia ketika melahirkan anak keempat.
Moko yang masih muda dan belum bersedia terpaksa memikul tanggungjawab menjaga kesemua anak saudaranya, termasuk bayi yang baharu lahir.
Pengorbanan Moko jelas tergambar apabila dia sanggup menerima takdir tersebut dengan menguburkan impiannya untuk melanjutkan pelajaran demi menyara kehidupan anak-anak saudaranya.
Sebagai seorang yang baharu menjejak alam dewasa, Moko terpaksa menjalankan peranan sebagai ibu dan bapa kepada kesemua anak saudaranya dalam sekelip mata.
Daripada menyediakan makanan, mengurus persekolahan hinggalah keperluan harian mereka, Moko menempuh segala cabaran tanpa sebarang pengalaman mahupun persiapan.
1 Kakak 7 Ponakan berjaya menggambarkan dilema generasi ‘sandwic’ – generasi yang tersepit antara mengejar cita-cita, cinta dan tanggungjawab terhadap keluarga akibat keadaan yang mendesak.
Walaupun Moko mempunyai kekasih bernama Maurin, konflik cinta mereka tidak dijadikan penyelesaian utama dan tidak digambarkan secara tergesa-gesa.
Sebaliknya, hubungan itu digambarkan secara realistik dan matang, mencerminkan hakikat bahawa dalam kehidupan sebenar, cinta tidak semestinya menjadi keutamaan ketika berdepan dengan tanggungjawab yang besar.
Secara keseluruhannya, filem ini berjaya mengetengahkan gambaran sebenar cabaran hidup anak muda masa kini, khususnya mereka yang terpaksa memikul tanggungjawab besar walaupun kehidupan sendiri masih belum stabil.
Filem ini turut dibintangi barisan pelakon hebat Indonesia seperti Amanda Rawles, Ringgo Agus Rahman, Niken Anjani, Kiki Narendra, Maudy Koesnaedi, Freya JKT48, Fatih Unru dan Nadif H. S.
Tambahan pula, lakonan para pelakon ini begitu semula jadi dan menyatu dengan jalan cerita, menjadikan setiap adegan hidup dan menyentuh perasaan.
Jangan lupa saksikan filem kekeluargaan yang penuh dengan emosi ini di pawagam Malaysia!


