PERBADANAN Sukan Sarawak (SSC) memerlukan jurulatih tempatan berkualiti untuk melahirkan lebih ramai atlet hebat dan perpotensi mewakili Sarawak ke Sukma atau kejohanan berprestij.
Ketua Pegawai Eksekutif SSC, Dr Ong Kong Swee (gambar) berkata, SSC telah membuat kajian bahawa terdapat 70 hingga 80 peratus jurulatih telah tamat tempoh pensijilan. Malah terdapat juga yang telah tamat tempoh 20 tahun yang lalu.
“SSC memerlukan jurulatih yang berkualiti dan mengikuti perkembangan sukan masa kini. Oleh itu, kita telah mengambil beberapa jurulatih asing. “Jurulatih tempatan yang kita ada sekarang merupakan bekas atlet Sukma atau bekas atlet kebangsaan.
Dari segi pengalaman, mereka agak kurang, berbanding jurulatih asing yang pernah mewakili negara mereka ke Sukan Olimpik,” katanya ketika temu bual eksklusif dengan Suara Sarawak di Stadium Sarawak, kelmarin.
Tambah beliau, jurulatih tempatan harus belajar daripada jurulatih asing bagi meningkatkan kemahiran mereka dalam melatih atlet.
Jelasnya, SSC kini giat meningkatkan tahap kemahiran dan sijil kejurulatihan di Sarawak, daripada tahap satu hingga tahap tiga.
Di Semenanjung, terdapat banyak kursus kejurulatihan teknikal, tetapi tidak mencukupi untuk Sarawak dan ia menelan kos yang agak tinggi.
“Sekarang kita telah mengambil alih sebahagian daripada program kejurulatihan dan kita telah memastikan Semenanjung mengadakan lebih banyak kursus teknikal di Sarawak.
“Sokongan Kerajaan Sarawak juga yang telah mengeluarkan banyak dana untuk mengadakan kursus-kursus kejurulatihan di negeri ini amat membantu para jurulatih kita,” ujar Kong Swee.
Setakat ini, seramai 195 orang jurulatih telah menaik taraf sijil kejurulatihan, namun kualiti mereka masih belum memuaskan.
Memiliki sijil tidak menjamin kualiti jurulatih tersebut yang terbaik, malah seramai 22 orang jurulatih asing telah dibawa masuk untuk melatih atlet elit.
Sehingga kini, banyak program kursus kejurulatihan seperti jurulatih teknikal dan pengurusan sukan telah diadakan dan meningkat dari tahun ke tahun iaitu pada 2017 (25 kursus), 2018 (31 kursus) dan 2019 (66 kursus).
Sepanjang tempoh tiga tahun SSC telah menerima 2,000 peserta yang mengikuti kursus tersebut. Namun ia memakan masa yang agak lama untuk memperlihatkan kemahiran sebenar seseorang jurulatih

