ARTIKEL

Kitaro. | Kredit: FB RWMF

Kitaro bakal buat persembahan pada Festival Muzik Hutan Hujan Dunia 2024

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Artis Jepun, Kitaro, pemenang Anugerah Grammy dan Golden Globe yang terkenal dengan muzik instrumental elektronik, bakal membuat persembahan pada Festival Muzik Hutan Hujan Dunia (RWMF) 2024 pada 28-30 Jun ini, anjuran Lembaga Pelancongan Sarawak (STB).

STB dalam satu kenyataannya memaklumkan festival tiga hari itu, dengan tema ‘Evolusi’, meraikan evolusi ekspresi muzik, perpaduan yang ditemukan dalam kepelbagaian, mengangkat kebijaksanaan tradisi Orang Asli, dan memupuk harmoni melangkaui sempadan.

“Bersama-sama dengan Kitaro, artis terkenal Malaysia, Datuk Zainal Abidin, yang popular dengan lagu hit tiga dekadnya ‘Hijau’, akan turut memeriahkan RWMF tahun ini.

“Selain itu, mewakili Malaysia Timur ialah artis Sarawak, Belle Sisoski, yang menggunakan platform sebagai pemuzik untuk meningkatkan kesedaran mengenai hak-hak Orang Asli, pemuliharaan alam sekitar dan muzik di Sarawak,” menurut kenyataan itu.

Artis antarabangsa lain termasuk Alright Mela Meets Santoo (Pakistan/Perancis), Bourbon Lassi (Australia/Malaysia), Imarhan (Algeria/Perancis), Krakatau Ethno (Indonesia), Nini (Taiwan/Amerika Syarikat), Rizal Hadi and Folk (Indonesia), Rhythm Rebels yang memaparkan Selonding Bali Aga (Indonesia) dan Tribal Tide (Singapura).

Pengunjung RWMF 2024 akan turut dihiburkan dengan persembahan artis Malaysia yang lain seperti The Borneo Collective (Malaysia Timur), Adrian G (Malaysia Barat), Alena Murang (Malaysia Timur), Nisa Addina (Malaysia Timur), Salammusik (Malaysia Barat), The Colour of Sound’s Malaysia (Malaysia Barat), Tuni Sundatang (Malaysia Timur) dan Zarul @OurBodySound (Malaysia Barat).

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam kenyataan sama menyebut, RWMF 2024 bukan berperanan sebagai festival muzik semata-mata.

Acara tersebut juga memanifestasikan tema ‘Evolusi’ apabila kelestarian, pelancongan bertanggungjawab dan pertukaran budaya bergabung dengan penuh harmoni. 

“Kami menjangkakan mengatasi (jumlah) kehadiran RWMF 2023 bagi keseluruhan hujung minggu festival, mewujudkan platform untuk pemimpin pendapat utama, penyokong alam sekitar dan penggerak perubahan belia,” katanya.

Pilihan tiket untuk RWMF 2024 memenuhi keperluan setiap peminat, daripada pas tiga hari berharga RM635 buat orang dewasa yang memberikan akses kepada keseluruhan hujung minggu festival, pas sehari untuk orang dewasa yang menawarkan harga bagi pembeli terawal RM235, prajualan pada RM283, dan jualan di pintu masuk RM333.

“Kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun boleh menyertai festival dengan pas sehari berharga RM80, manakala kemasukan bagi kanak-kanak bawah tiga tahun adalah percuma.

“Hadiah menarik menanti pembeli tiket bagi menyokong inisiatif pelancongan bertanggungjawab dan kelestarian Sarawak,” katanya.
 
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) STB, Sharzede Datu Salleh Askor berkata RWMF sentiasa memartabatkan budaya, meraikan kemeriahan pelbagai tradisi muzik, dan menjadi wira kepada suara Orang Asli dunia.

“Pada edisi ke-27 ini, kami menginjak satu langkah penting ke hadapan.

“Kami mengubah festival ini menjadi platform dinamik yang menyokong amalan lestari dalam pelancongan dan pemuliharaan,” katanya.

RWMF 2024 akan mengetengahkan 20 persembahan, merangkumi 68 pemuzik antarabangsa dari 14 negara di enam benua dan 63 artis Malaysia.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket, sila layari laman web rasmi Rainforest World Music Festival 2024 di www.rwmf.net. — BERNAMA

BERITA LAIN

Bekas wartawan penyiaran Sarawak meninggal dunia

KUCHING: Bekas wartawan penyiaran dari Sarawak, Datuk Affandi Tahir, meninggal dunia di kediamannya di sini semalam. Menurut laporan TVS hari ini, berita pemergiannya disahkan oleh anaknya, Faisal

BERITA TERBARU

Bekas wartawan penyiaran Sarawak meninggal dunia

KUCHING: Bekas wartawan penyiaran dari Sarawak, Datuk Affandi Tahir, meninggal dunia di kediamannya di sini semalam. Menurut laporan TVS hari ini, berita pemergiannya disahkan oleh anaknya, Faisal