KUCHING: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menzahirkan ucapan takziah atas pemergian tokoh perubatan dan negarawan, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, yang disifatkan antara doktor wanita Melayu terawal di Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, KKM berkata seluruh warganya merakamkan rasa dukacita mendalam atas kehilangan Allahyarhamah yang banyak menabur jasa dalam bidang kesihatan awam.
“Jasa, bakti dan sumbangan berterusan Allahyarhamah dalam memajukan sektor kesihatan awam, khususnya dalam aspek kesihatan ibu dan anak serta kesejahteraan masyarakat, akan sentiasa terpahat dalam sejarah negara,” menurut kenyataan itu.
KKM turut mendoakan agar roh Allahyarhamah dicucuri rahmat Allah SWT, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.
“Salam takziah turut disampaikan kepada seluruh ahli keluarga Allahyarhamah dan didoakan agar mereka diberikan ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi kehilangan berkenaan,” ujar KKM.



