ARTIKEL

KKM tidak lagi membenarkan penjualan dua produk kosmetik iaitu Glowing Night Treatment dan Glowing Herbal Treatment yang dikesan mengandungi racun berjadual.

KKM larang jual dua produk kosmetik mengandungi racun berjadual

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) tidak lagi membenarkan penjualan dua produk kosmetik iaitu Glowing Night Treatment dan Glowing Herbal Treatment yang dikesan mengandungi racun berjadual.

KKM dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua produk itu didapati mengandungi bahan terlarang seperti merkuri, hidrokuinon, tretinoin serta betamethasone 17-valerate.

“Susulan itu, notifikasi kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Perkhidmatan Farmasi dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia,” menurut kenyataan itu.

KKM menjelaskan merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana bahan itu boleh diserap ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang serta sistem saraf, selain berpotensi mengganggu perkembangan otak kanak-kanak termasuk bayi dalam kandungan.

“Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit,” menurut kenyataan itu.

KKM turut memaklumkan bahawa bahan seperti betamethasone 17-valerate, hidrokuinon dan tretinoin merupakan ubat yang perlu berdaftar dengan pihak berkuasa kawalan dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

KKM memaklumkan penggunaan kosmetik yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan profesional kesihatan boleh menyebabkan pelbagai kesan sampingan.

Ia termasuk penipisan kulit muka, iritasi, jerawat, perubahan pigmentasi serta peningkatan risiko bahan diserap ke dalam sistem peredaran darah yang boleh membawa kesan mudarat.

“Penjual dan pengedar kosmetik ini perlu menghentikan penjualan dan pengedaran kosmetik tersebut dengan serta-merta,” menurut kenyataan itu.

KKM memaklumkan penjualan dan pengedaran kosmetik tersebut adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

Bagi syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.-TVS

BERITA LAIN

BERITA TERBARU