ARTIKEL

Datuk Hanifah Hajar Taib merakamkan gambar kenangan bersama kakitangan semasa mengadakan lawatan ke Klinik Kesihatan Kuala Balingian, hari ini.

KKM peruntuk RM200,000 naik taraf Klinik Kesihatan Balingian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BALINGIAN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperuntukkan hampir RM200,000 bagi menaik taraf kemudahan dan menambah baik peralatan di Klinik Kesihatan Balingian.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, peruntukan itu merupakan usaha untuk memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada penduduk setempat.

“Peruntukan tersebut merangkumi pembelian beberapa peralatan penting termasuk mesin ultrasound, autoklaf, peralatan makmal serta permohonan penggantian ambulans baharu.

“Langkah ini bertujuan meningkatkan kecekapan rawatan dan rujukan pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa Program Jelajah Kesihatan Borneo Negeri Sarawak (Siri 2) di Klinik Kesihatan Balingian, di sini hari ini.

Menyentuh mengenai lawatan tersebut, beliau memberitahu bahawa tinjauan berkenaan penting bagi melihat sendiri keperluan sebenar di kedua-dua klinik terlibat.

“Lawatan ini bukan sahaja dari aspek bangunan dan kemudahan asas, malah bagi mengenal pasti jenis masalah kesihatan yang sering dihadapi penduduk.

“Kita mahu memastikan segala keperluan yang perlu dibentangkan kepada pihak berkaitan dapat dikenal pasti lebih awal bagi memudahkan tindakan susulan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau turut meneliti keadaan fizikal kedua-dua klinik yang disifatkan sudah uzur walaupun beberapa penambahbaikan kecil telah dilaksanakan sebelum ini.

Katanya, pihak kementerian mahu memastikan penaiktarafan yang dilaksanakan benar-benar setara dengan keperluan semasa serta memberi manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat.

Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah turut menyatakan komitmen untuk terus meneliti kaedah terbaik dalam memperkasakan kemudahan kesihatan di kawasan berkenaan, termasuk menggunakan peruntukan di bawah tanggungjawab beliau.

“Keutamaan kita adalah memastikan penduduk luar bandar menerima akses kesihatan yang berkualiti, selesa dan setara dengan keperluan semasa,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU