KUCHING: Kementerian Kerja Raya (KKR) menyalurkan peruntukan RM12.53 juta kepada Sarawak bagi melaksanakan rawatan keselamatan jalan raya di Jalan Persekutuan bagi tempoh 2021 hingga 2026.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata peruntukan itu antara usaha kerajaan menangani lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan berdasarkan analisis data kemalangan jalan raya.
“Daripada jumlah tersebut, RM6.275 juta diperuntukkan bagi rawatan di lokasi yang disahkan sebagai kawasan hitam, manakala RM5.854 juta digunakan untuk pemasangan lampu jalan di kawasan yang dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Kursus Peluasan RAMS dan Pelaporan Data Kemalangan Jalan Raya Mengikut Piawaian PDRM K27 dengan kerjasama KKR dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di sebuah hotel, di sini, hari ini.
Sejumlah RM80 juta turut diperuntukkan tahun ini bagi melaksanakan rawatan keselamatan jalan raya di 99 lokasi kawasan hitam di Jalan Persekutuan seluruh negara.
“Pengenalpastian lokasi kawasan hitam kini dapat dilaksanakan dengan lebih sistematik menerusi penggunaan Sistem Pengurusan Kemalangan Jalan Raya (RAMS) yang dibangunkan KKR di bawah inisiatif MYJalan.
“Lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan hitam seterusnya diberikan perhatian menerusi pelaksanaan rawatan keselamatan jalan raya di bawah Program Menaik Taraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya,” katanya.
Nanta berkata penggunaan RAMS membolehkan data kemalangan daripada Sistem Pelaporan Polis Bersepadu (i-PRS) di bawah seliaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diintegrasikan bagi membantu perancangan dan pelaksanaan intervensi keselamatan jalan raya dibuat dengan lebih tepat dan pantas.

