SPAOH: Pembinaan Klinik Kesihatan Spaoh baharu membuktikan komitmen kerajaan memperkukuh sistem penjagaan kesihatan, khususnya di kawasan luar bandar, kata Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu.
Beliau berkata, kemudahan baharu itu akan menyediakan perkhidmatan kesihatan lebih berkualiti, cekap dan selesa kepada penduduk Spaoh serta kawasan sekitar.
Beliau berkata demikian ketika mengiringi lawatan kerja rasmi Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Dr Mahathar Abdul Wahab ke Klinik Kesihatan Spaoh, di sini, hari ini.
Menurut Richard, klinik baharu itu turut dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk Pusat Hemodialisis yang bakal memberi manfaat kepada pesakit buah pinggang di Spaoh dan kawasan berhampiran.
Katanya, kemudahan itu membolehkan pesakit mendapatkan rawatan lebih dekat tanpa perlu berulang-alik ke lokasi yang lebih jauh.
Projek pembinaan Klinik Kesihatan Spaoh baharu melibatkan peruntukan RM16.2 juta daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), selain tambahan RM20 juta menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Sementara itu, lawatan berkenaan bertujuan menilai mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan di Klinik Kesihatan Spaoh serta meninjau perkembangan pembinaan klinik baharu.
Antara fasiliti yang ditinjau termasuk Unit Pesakit Luar, bilik konsultansi, bilik rawatan, Unit Makmal, Unit Radiologi, Perkhidmatan Kesihatan Ibu dan Anak, Unit Kesihatan Remaja serta kemudahan ambulans.
Lawatan itu turut meneliti keadaan fizikal bangunan, teknologi perubatan, keselesaan ruang menunggu dan kecukupan peralatan bagi memastikan perkhidmatan kesihatan yang disediakan terus memenuhi keperluan masyarakat.


