KUCHING: Colgate, jenama penjagaan kesihatan oral terkemuka, dengan
kerjasama Persatuan Pergigian Malaysia (MDA), meneruskan usaha untuk membudayakan pemeriksaan pergigian secara berkala dalam kalangan rakyat Malaysia.
Pada masa sama memperkukuh kesedaran terhadap kepentingan pemeriksaan awal menerusi inisiatif Pemeriksaan Gigi Percuma Colgate yang dilaksanakan di seluruh negara.
Oleh itu, bagi mempertingkat pelibatannya bersama komuniti di Sabah dan Sarawak, Colgate melaksanakan usaha ini menerusi rangkaian 12 Klinik Pop-Up yang ditempatkan secara strategik di kedua-dua negeri
tersebut.

Kewujudan Klinik Pop-Up ini membolehkan pakar pergigian mendekati penduduk setempat, sekali gus memudahkan mereka mendapatkan pemeriksaan awal dan nasihat profesional.
Menurutnya, di Sabah, kira-kira 94 peratus orang dewasa mengalami karies gigi atau gigi berlubang, berbanding purata kebangsaan sebanyak 85.1 peratus.
Di samping itu, purata bilangan gigi rosak bagi setiap individu di negeri ini ialah tiga batang.
Keadaan ini menunjukkan bahawa tahap kesedaran terhadap penjagaan kesihatan pergigian masih perlu terus diperteguh di Sabah dan Sarawak.
Akses yang terhad kepada perkhidmatan pergigian turut memburukkan keadaan, sekali gus menyebabkan rawatan tertangguh dan masalah kesihatan oral menjadi semakin serius.
Penjagaan pergigian profesional secara berkala merupakan asas penting dalam mengekalkan senyuman yang sihat, dan pakar mengesyorkan agar setiap individu menjalani pemeriksaan doktor gigi sekurang kurangnya dua kali setahun.
Pengesanan awal amat penting untuk memelihara kesihatan oral dalam
jangka panjang serta mengelakkan komplikasi yang boleh dicegah.
Pendidikan kesihatan oral terus menjadi matlamat utama inisiatif ini kerana masalah kecil seperti gigi sensitif atau karies pada peringkat awal boleh berkembang menjadi keadaan yang lebih serius, termasuk
pereputan teruk, penyakit gusi atau kehilangan gigi, sekiranya tidak dirawat lebih awal.

Justeru, Klinik Pop-Up di Sabah dan Sarawak diwujudkan bagi menyediakan pemeriksaan doktor gigi percuma yang dikendalikan secara profesional, sekali gus menyokong intervensi awal serta membantu orang ramai mendapatkan penjelasan dan nasihat profesional sebelum gejala kecil bertukar menjadi masalah yang lebih besar.
Presiden MDA Dr. Chong Zhen Feng berkata, MDA menyokong penuh inisiatif yang memperluas akses kepada langkah penjagaan kesihatan oral berbentuk pencegahan di seluruh negara. Pengesanan awal melalui pemeriksaan berkala amat penting bagi mengurangkan beban penyakit pergigian.
“Melalui kerjasama dengan Colgate ini, kami dapat menggerakkan pakar pergigian di seluruh negara untuk melaksanakan pemeriksaan doktor gigi percuma, sekali gus mendorong orang ramai mengambil langkah
proaktif untuk menjaga kesihatan oral sebelum isu ringan berkembang menjadi semakin serius,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Pemasaran Kanan, Hab ASEAN Selatan Colgate-Palmolive Hardik Jhaveri berkata, walaupun gigi berlubang merupakan masalah yang lazim dan boleh menjejaskan kehidupan seharian, keadaan ini sebenarnya boleh dicegah sepenuhnya.
“Di Colgate, kami komited untuk mempertingkatkan kesihatan oral menerusi pendidikan serta akses kepada penjagaan yang berkualiti.
“Dengan membawa pemeriksaan doktor gigi profesional lebih dekat kepada komuniti setempat, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia dapat mengambil langkah awal bagi mencegah masalah kesihatan oral yang boleh dielakkan,” ujarnya.
Hardik Jhaveri menambah, kerjasama dengan MDA ini mencerminkan misi bersama mereka untuk memperluas akses kepada penjagaan kesihatan oral berbentuk pencegahan untuk semua.
Orang ramai hanya perlu mengimbas kod QR pada pek produk Colgate terpilih untuk menempah pemeriksaan doktor gigi percuma di klinik berdekatan menerusi rangkaian klinik yang mengambil bahagian.
Orang ramai juga dialu-alukan untuk mengunjungi Klinik Pop-Up di Sabah dan Sarawak sepanjang bulan April dan Mei.
Bagi mereka yang tidak berpeluang hadir ke lokasi klinik Pop-Up berkenaan, pemeriksaan doktor gigi percuma masih boleh ditempah dengan mengimbas kod QR pada pek produk Colgate terpilih atau dengan melayari laman sesawang rasmi di https://www.colgate.com/ms-my/oral-health-quiz untuk membuat
janji temu dengan doktor gigi berdekatan.
Di Sarawak, Klinik Pop-Up akan diadakan di Emart Tabuan Jaya, Kuching pada 25 hingga 26 April, Everwin Sibu, Sibu (2 hingga 3 Mei), Farley Bintulu, Bintulu (9 hingga 10 Mei), Everwin Tudan, Miri (16 hingga 17 Mei) dan Emart Riam, Miri (23 hingga 24 Mei).


