BETONG: Klinik Tinju yang dianjurkan sempena Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Peringkat Bahagian Betong dilihat sebagai platform penting dalam usaha mencungkil lebih ramai bakat muda berpotensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, langkah lebih agresif perlu diambil bagi memperkukuh barisan atlet tinju negeri susulan pencapaian skuad Sarawak pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor yang lalu.

Menurutnya, skuad tinju Sarawak menamatkan saingan dengan kutipan lima pingat, masing-masing satu perak dan empat gangsa.
Justeru, katanya, usaha mengenal pasti serta membangunkan bakat baharu perlu dipergiat bagi memastikan Sarawak mempunyai barisan atlet yang lebih mantap dan kompetitif pada kejohanan akan datang.
“Melalui Klinik Tinju ini, kita ingin melihat lebih banyak lagi bakat muda ditampilkan supaya sukan tinju dapat ditingkatkan seperti negeri-negeri lain,” katanya.
“Visi kita supaya lebih ramai berkecimpung dalam sukan ini kerana banyak kategori boleh disertai,” ujarnya.
“Jadi, kita perlu mengisi barisan atlet tinju kita; barulah kita dapat menang kerana kalau tidak ada orang, kita akan kalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Prapelancaran Program SKS 2026 Peringkat Bahagian Betong di Kompleks Sukan Betong, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar berkata, Klinik Tinju itu turut menjadi salah satu pendekatan Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan untuk memperkenalkan sukan berkenaan dengan lebih meluas, khususnya dalam kalangan masyarakat luar bandar.
Katanya, pendedahan awal kepada sukan tinju penting bagi membuka ruang kepada golongan muda mengenali bidang tersebut, selain memberi peluang kepada bakat baharu untuk dibimbing secara lebih tersusun.
Dalam program berkenaan, pengunjung turut berpeluang bertemu dan mendapatkan pendedahan daripada ikon sukan tanah air termasuk bekas juara dunia tinju, Leftenan Kolonel Sapok Biki, serta atlet tinju Sarawak, Daeloniel Mcdelon Bong atau lebih dikenali sebagai ‘Kilat Boy’.
Prapelancaran SKS 2026 Peringkat Bahagian Betong itu turut dihadiri Ahli Parlimen Betong, Datuk Dr Richard Rapu dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datuk Hii Chang Kee.




