ARTIKEL

Kluster Perindustrian Peralihan Bintulu dilancar 11 Jun ini

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kluster Perindustrian Peralihan Bintulu (TIC) yang diiktiraf sebagai salah satu daripada hanya 36 kluster seumpamanya di dunia oleh Forum Ekonomi Dunia (WEF) akan dilancarkan secara rasmi pada 11 Jun ini.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pengiktirafan itu merupakan pencapaian penting di peringkat global bagi Sarawak dengan Bintulu menjadi satu-satunya wakil dari Malaysia dalam rangkaian berprestij tersebut.

Beliau berkata pelancaran TIC Bintulu dijangka mengukuhkan lagi kedudukan Sarawak sebagai hab serantau bagi industri bersih dan pelaburan berorientasikan masa depan.

“Bintulu kini menarik gelombang baharu pelaburan hijau, industri pembuatan berteknologi tinggi dan teknologi rendah karbon,” katanya menerusi perutusan sempena Sambutan Hari Gawai 2026, hari ini.

Tambah Abang Johari, Pelan Hala Tuju Gas Sarawak selama 10 tahun yang komprehensif turut dirangka untuk memanfaatkan sumber gas asli negeri secara strategik dan mampan menerusi empat hab pertumbuhan utama iaitu di Miri, Samalaju, Bintulu dan Kuching.

Beliau berkata, strategi Sarawak jelas iaitu bergerak secara agresif ke rantaian nilai yang lebih tinggi menerusi pembangunan industri hiliran, pengembangan industri petrokimia dan pembuatan bernilai tambah.

“Sejak Disember 2024, Sarawak telah mengeksport lebih satu juta tan metrik metanol ke pasaran di rantau Asia Pasifik.

“Daripada sekadar mengeksport sumber mentah, kami memastikan kekayaan gas Sarawak menjana pertumbuhan industri, peluang pekerjaan bernilai tinggi serta pemindahan teknologi,” katanya lagi.

Beliau turut mendedahkan bahawa pengembalian Pelabuhan Bintulu kepada kawalan Kerajaan Sarawak merupakan pencapaian penting yang mengukuhkan lagi kepentingan strategiknya samping membolehkan Sarawak mengurus aset maritim kritikal itu secara lebih terselaras.

Pada masa yang sama kata Abang Johari, setakat April 2026, pembinaan loji janakuasa Turbin Gas Kitaran Gabungan (CCGT) berkapasiti 500 megawatt di Miri telah mencapai kemajuan kira-kira 45 peratus dan berada di landasan tepat untuk disiapkan menjelang akhir 2027.

Katanya, kemudahan itu akan berfungsi sebagai hab tenaga utama bagi utara Sarawak dan memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan aktiviti industri serta ekonomi negeri.

Mengenai cadangan pembangunan Pelabuhan Laut Dalam Tanjung Embang, Abang Johari mendedahkan bahawa ia merupakan langkah strategik dalam usaha meletakkan Sarawak sebagai pintu masuk global masa depan bagi Borneo.

“Pembangunan transformatif ini adalah sebahagian daripada pelan induk bersepadu yang lebih besar, merangkumi lapangan terbang antarabangsa baharu, zon perindustrian rendah karbon, infrastruktur logistik serta kemudahan eksport tenaga masa depan,” jelasnya.

Selain itu, dalam usaha meningkatkan keterhubungan serantau, Abang Johari berkata syarikat penerbangan milik negeri, AirBorneo, dijadual memulakan operasi pesawat jet serantau pada Julai ini.

Beliau berkata, selaras dengan aspirasi menjadikan Sarawak sebagai hab perdagangan dan pelaburan strategik di rantau ASEAN, Pihak Berkuasa Pelabuhan Sarawak turut membangunkan Pelan Pembangunan Pelabuhan Bersepadu.

Katanya, pelan itu akan menyelaraskan pembangunan semua pelabuhan menerusi pendekatan “kluster pelabuhan” bagi mengoptimumkan fungsi pelabuhan, memperkukuh hubungan logistik dan menyokong pembangunan kawasan pedalaman.

Mengenai peralihan kepada ekonomi hijau, beliau berkata Sarawak akan mengurangkan eksport kayu balak sebagai sebahagian daripada komitmen terhadap kelestarian alam sekitar.

Bagaimanapun, kerajaan menggalakkan pembangunan industri hiliran berasaskan hutan tanaman bagi tujuan pengeluaran biojisim dan sebagai penyerap karbon.

“Langkah ini selaras dengan dasar ekonomi hijau Sarawak yang berteraskan visi menjadikan negeri ini sebagai hab ekonomi hijau utama di rantau ini,” jelasnya.

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

BERITA TERBARU