
KUCHING: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) diminta untuk bekerjasama dengan ahli majlis agar sebarang isu yang dibangkitkan dapat dibawa ke pihak majlis.
Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang berkata, seorang ahli majlis yang perlu menyelia kawasan yang luas menyukarkan mereka untuk mengetahui masalah yang dihadapi masyarakat setempat.
Justeru katanya, mereka amat menuntut kerjasama KMKK yang mengetahui isu di kawasan mereka.
“Ketua masyarakat amat memahami isu-isu dalam kampung, jadi bawakan isu tersebut melalui ahli majlis.
“Sekiranya mereka (ahli majlis) bekerjasama dengan ketua masyarakat, ia dapat memudahkan urusan dan melancarkan operasi tersebut,” katanya berucap pada majlis penyerahan surat lantikan Kapitan dan perlanjutan jawatan KMKK di Kota Padawan, hari ini.
Beliau yang juga Adun Batu Kitang berkata, isu yang dikemukakan sudah semestinya akan dibawa dalam mesyuarat MPP yang turut melibatkan agensi-agensi berkaitan.
“Melalui mesyuarat tersebut, jabatan-jabatan ini akan mengambil tindakan untuk diselesaikan.
Sehubungan itu, beliau menuntut kerjasama tersebut supaya diteruskan agar keyakinan rakyat diperkukuh selain mendapat sokongan daripada mereka.




