ARTIKEL

KMKK hubung kerajaan, rakyat

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KETUA masyarakat dan ketua kaum (KMKK) bukan sekadar pemimpin di peringkat kampung, sebaliknya menjadi penghubung penting antara kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.

Kedudukan mereka yang dekat dengan masyarakat membolehkan setiap maklumat, dasar dan agenda pembangunan kerajaan disampaikan secara langsung kepada penduduk.

Pada masa sama, KMKK turut menjadi saluran untuk membawa suara serta keperluan masyarakat kepada kerajaan.

Peranan itu menjadikan mereka antara komponen penting dalam memastikan pembangunan di Sarawak dapat dilaksanakan secara menyeluruh.

Bagi sesebuah kampung, kewujudan pemimpin masyarakat yang berfungsi dengan baik dapat membantu memastikan kebajikan penduduk sentiasa diberikan perhatian.

KMKK perlu mengetahui keadaan masyarakat di bawah jagaan mereka, termasuk keperluan golongan yang memerlukan bantuan.

Mereka juga bertanggungjawab memastikan bantuan dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan sampai kepada golongan sasaran.

Tugas itu mungkin kelihatan mudah, namun tanggungjawab yang dipikul sebenarnya cukup besar.

Sebagai pemimpin akar umbi, KMKK perlu sentiasa peka terhadap keadaan penduduk, termasuk aspek keselamatan, kebajikan dan keharmonian kampung.

Mereka juga berperanan mengenal pasti kegiatan yang boleh menjejaskan kesejahteraan masyarakat.

Antaranya termasuklah penyalahgunaan dadah, kegiatan merempit dan budaya lepak yang boleh mengganggu ketenteraman kejiranan.

Masalah sedemikian tidak boleh dipandang ringan kerana jika dibiarkan, keadaan itu boleh menjejaskan keselamatan serta hubungan dalam komuniti.

KMKK perlu memainkan peranan awal dengan memberikan nasihat dan mengambil langkah sewajarnya bagi menangani perkara berkenaan.

Sekiranya sesuatu masalah tidak dapat diselesaikan di peringkat kampung, perkara itu perlu disalurkan kepada pihak berkuasa atau agensi yang berkaitan.

Pendekatan berkenaan membolehkan sesuatu permasalahan ditangani mengikut bidang kuasa serta melalui tindakan yang sewajarnya.

Bagaimanapun, peranan KMKK tidak terhad kepada menjaga kebajikan dan keselamatan penduduk.

Mereka juga perlu memastikan dasar kerajaan difahami oleh masyarakat supaya segala manfaat yang disediakan dapat digunakan sepenuhnya.

Dalam konteks itu, KMKK menjadi antara saluran terawal kerajaan menyampaikan maklumat kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

Keberkesanan peranan tersebut banyak bergantung pada sikap serta integriti individu yang dilantik.

KMKK perlu menjalankan amanah dengan penuh tanggungjawab dan menjadi contoh yang baik kepada masyarakat.

Integriti penting kerana mereka turut terlibat dalam memastikan pelaksanaan pembangunan di kawasan masing-masing berjalan mengikut perancangan.

Setiap peruntukan yang disalurkan kepada kampung perlu diurus dengan penuh amanah dan digunakan bagi tujuan yang telah ditetapkan.

Projek pembangunan juga perlu dilaksanakan berdasarkan peruntukan serta perancangan yang telah ditetapkan.

Langkah itu penting bagi memastikan setiap peruntukan benar-benar memberikan manfaat kepada penduduk dan tidak disia-siakan.

Lebih penting, pembangunan yang dilaksanakan perlu membantu meningkatkan kemudahan serta kualiti hidup masyarakat setempat.

Aspirasi untuk membentuk Sarawak sebagai sebuah negeri maju dan berintegriti tinggi memerlukan pelibatan semua lapisan masyarakat.

Usaha itu tidak hanya bergantung pada kerajaan atau pemimpin di peringkat negeri.

Usaha tersebut turut bermula daripada pemimpin akar umbi yang berhadapan secara langsung dengan masyarakat setiap hari.

Sikap berintegriti dalam kalangan KMKK mampu menjadi contoh kepada penduduk dan seterusnya membentuk budaya masyarakat yang lebih bertanggungjawab.

Selain pembangunan fizikal, hubungan sesama penduduk juga perlu diberikan perhatian.

Sehubungan itu, KMKK perlu menggalakkan aktiviti kemasyarakatan yang dapat menghimpunkan penduduk dan mengeratkan hubungan kejiranan.

Keadaan masyarakat hari ini tidak lagi sama seperti dahulu kerana perpindahan penduduk menyebabkan sebahagian jiran mungkin tidak saling mengenali.

Aktiviti bersama boleh menjadi ruang untuk penduduk berkenalan, berinteraksi dan membina hubungan yang lebih erat.

Hubungan kejiranan yang kukuh juga dapat mewujudkan masyarakat yang lebih prihatin terhadap keadaan di sekeliling.

Keadaan itu, sekali gus membantu membentuk persekitaran kampung yang lebih selamat, harmoni dan saling menyokong.

Kepimpinan KMKK yang berkesan akhirnya bukan sahaja membantu menyampaikan agenda kerajaan, malah turut membina kekuatan sesebuah komuniti.

Namun, tanggungjawab itu tidak boleh diletakkan sepenuhnya di bahu KMKK.

Penduduk perlu memberikan kerjasama dan sokongan supaya setiap perancangan serta usaha yang dilaksanakan dapat mencapai matlamat.

Kerjasama antara KMKK, penduduk dengan kerajaan penting bagi memastikan pembangunan di peringkat akar umbi terus bergerak seiring dengan keperluan masyarakat.

Apabila kepimpinan yang berkesan disokong oleh komuniti yang bersatu, lebih banyak ruang dapat diwujudkan untuk membangunkan kawasan masingmasing.

Hal ini demikian kerana kekuatan sesebuah kampung bukan sahaja bergantung pada kemudahan fizikal yang dimiliki, malah turut ditentukan oleh kekuatan hubungan serta kepimpinan masyarakatnya.

Dalam pada itu, KMKK sebagai pemimpin akar umbi perlu terus diperkasa bagi memastikan agenda pembangunan, keselamatan dan kesejahteraan rakyat dapat dilaksanakan secara berterusan.

Justeru, dengan kerjasama semua pihak, komuniti yang maju, harmoni dan sejahtera dapat dibentuk dari peringkat akar umbi.

BERITA LAIN

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU