MUKAH: Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu sentiasa peka terhadap aspek penjagaan kesihatan bagi memastikan mereka mampu melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan dalam membantu penduduk setempat.
Temenggong Hendi Suhai berkata, tahap kesihatan yang baik bukan sahaja membolehkan pemimpin masyarakat menjalankan tugas dengan cemerlang, malah mampu meningkatkan keyakinan penduduk terhadap kepimpinan mereka.
“Atas kesedaran itu, Program Vaksin KMKK Mukah diperkenalkan sebagai langkah proaktif dalam memberi perlindungan kesihatan kepada pemimpin masyarakat, khususnya daripada jangkitan influenza.


“Program ini bertujuan memastikan rakan-rakan KMKK di Mukah memperoleh tahap kesihatan terbaik agar mereka dapat terus berkhidmat kepada masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program tersebut hari ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, sekiranya sihat, pemimpin mampu melaksanakan amanah dengan baik, manakala jika kesihatan terganggu, sudah tentu keupayaan membantu penduduk kampung akan terjejas.
Jelasnya, program tersebut merupakan inisiatif pertama seumpamanya yang dilaksanakan khusus untuk KMKK di daerah ini.
“Seramai 24 peserta terlibat dalam program kali ini dan ia akan diteruskan pada masa hadapan.
“Pemberian vaksin influenza amat wajar memandangkan penyakit ini mudah berjangkit dan berisiko lebih tinggi kepada golongan warga emas serta individu yang menghidap penyakit kronik.


“Program ini bukan sahaja memberi perlindungan kepada KMKK, malah meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan mendapatkan suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan,” katanya.
Dalam pada itu, Hendi menzahirkan penghargaan kepada Pejabat Kesihatan Bahagian Mukah atas kerjasama menjayakan program tersebut.
“Diharapkan kerjasama strategik antara kedua-dua pihak akan diteruskan pada masa hadapan demi meningkatkan kesejahteraan masyarakat.
“Melalui program seperti ini, kita bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan, malah mengukuhkan silaturahim dan kerjasama antara pemimpin masyarakat.
“Saya berharap usaha seperti ini akan diteruskan agar masyarakat di Mukah terus menikmati kehidupan yang lebih sejahtera dan sihat,” tambahnya.

