ARTIKEL

Nanta (empat kiri) bersama Uggah dan tetamu kehormat lain dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Hal Ehwal KMKK dan JKKK Sarawak Bil. 1 Tahun 2025.

KMKK Penghubung Utama Kerajaan dan Rakyat Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Peranan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) amat penting kerana mereka merupakan institusi utama yang menghubungkan kerajaan dengan rakyat di peringkat akar umbi.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, KMKK memastikan dasar kerajaan dapat disampaikan dan dilaksanakan dengan berkesan serta menjaga kesinambungan pembangunan sosioekonomi dan kebudayaan masyarakat setempat.

“KMKK memahami keadaan dan keperluan komuniti, menjadikan mereka penghubung penting untuk menjaga kesejahteraan rakyat dan merealisasikan dasar kerajaan,” katanya menerusi satu hantaran Facebook, hari ini.

Dalam hal berkaitan, beliau menjelaskan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Hal Ehwal KMKK dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sarawak Bil. 1 Tahun 2025 menjadi medan membincangkan isu, memberi input serta cadangan memperkasa peranan KMKK.

“Mesyuarat kali ini yang dipengerusikan Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberi fokus kepada cadangan permohonan pewujudan jawatan KMKK Sarawak.

“Mesyuarat ini juga menekankan kajian semula Skim Perkhidmatan KMKK Sarawak dan pelantikan Ahli Jawatankuasa Panel Pemilihan KMKK peringkat bahagian.

“Apa yang menarik perhatian saya termasuk semua pihak yang menghadiri mesyuarat itu ialah cadangan menaikkan gaji ketua masyarakat dan elaun ketua kaum.

“Langkah ini penting bukan sahaja sebagai penghargaan terhadap jasa dan peranan KMKK, malah bagi melicinkan serta memperhebat usaha memaju dan memakmurkan rakyat,” jelasnya.

Beliau berharap mesyuarat tersebut dapat memberi impak lebih besar kepada peranan serta tanggungjawab sekitar 7,700 KMKK di seluruh Sarawak dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat peringkat akar umbi.

Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Premier Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta Residen dari beberapa bahagian di Sarawak.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU